Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: LLM diseru main peranan penting isu lebuh raya di Selangor

Majlis Meyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat keputusan untuk memanggil Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis ini berhubung kesediaan LLM untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan lebuh raya lain di Selangor.

Kerajaan Selangor berpendirian bahawa LLM sebagai badan berkanun yang bertanggungjawab mengawalselia lebuh raya bertol di Malaysia perlu memainkan peranan penting untuk memberi kefahaman yang mendalam kepada orang ramai khususnya kepada penduduk di Petaling Jaya.

MBSaya mendapati rakyat keliru atau dikelirukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan sama ada yang menyokong atau menentang cadangan pembinaan lebuh raya ini.

Justeru, kita perlu kembali kepada LLM sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab mengawalselia pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol di Malaysia.

LLM juga bertanggungjawab memastikan keperluan sosial dan alam sekitar dipenuhi selain menjadi pakar rujuk dalam pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol.

Kita difahamkan syarikat konsesi setakat ini belum menghantar Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Laporan Penilaian Kesan Sosial dan Laporan Penilaian Kesan Trafik kepada pihak-pihak berwajib termasuklah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPSJ).

Kerajaan Selangor bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada LLM dalam usaha memberi penerangan kepada rakyat dengan penglibatan secara langsung wakil Kerajaan Negeri dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, Kerajaan Selangor juga memohon kerjasama dari semua supaya memberi ruang terlebih dahulu kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan peranan mereka sebelum apa jua tindakan susulan diambil.

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, kita perlu mengambil kira pelbagai aspek dalam membuat apa-apa juga keputusan yang akhirnya kepentingan rakyat teramai akan menjadi keutamaan.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.