Categories
SELANGOR

MB: Tiada kenaikan tarif air dalam tempoh 5 tahun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 JUN : Kerajaan Selangor hari ini mengulangi pendiriannya untuk tidak menaikkan tarif air sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun lagi meskipun Selangor dikatakan menghadapi masalah bekalan air sejak sekian lama.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sasaran Kerajaan Negeri kini adalah menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi air sedia ada yang ditandatangani Selangor bersama syarikat konsesi sebelum tahun 2008.

air-syabas_MB1Beliau berkata sekiranya perjanjian bersama syarikat konsesi diteruskan, maka kenaikan tarif air boleh meningkat daripada RM1.39 per meter padu kepada RM3.83.

“Hanya penyelarasan pertama sahaja telah diterima oleh kerana ia sudah diluluskan (sebelumnya) tetapi penyelarasan harga kedua, Kerajaan Negeri tidak menerimanya dan tiada kenaikan pada masa tersebut.

“Kerajaan Negeri berpendapat perlu diadakan penyusunan semula perkhidmatan industri air untuk memastikan kenaikan air tidak seperti dalam perjanjian dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas),” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Tiew Way Keng (DAP-Teratai) berhubung tarif air.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedang giat meneliti dan menyusun semula kos operasi terutama pembelian air terawat pada masa ini selain berjanji akan mengenakan tarif air pada harga munasabah.

Beliau berkata struktur baru yang diwujudkan juga dipastikan supaya mengutamakan peningkatan tahap kecekapan keberkesanan perkhidmatan, memperkukuh integriti, daya saing dan kemampanan serta mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) kepada 15 peratus.

“Kita melibatkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di peringkat awal dalam proses pengambilan dan penyusunan semula ini dan ia sedang berlangsung untuk memastikan pelaksanaan perjanjian berkenaan,” katanya yang juga Adun Pelabuhan Klang.

grafik-DNSSementara itu ketika mengulas mengenai masalah bekalan air yang masih berlaku di kawasan Zon 24 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Khalid berkata ia adalah disebabkan tekanan air rendah ekoran pengaratan dalam paip-paip utama dan paip komunikasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun katanya Kerajaan Negeri sudah menubuhkan satu pasukan baru untuk mengetahui masalah logistik dari segi pengaliran air mentah di Selangor dan cara mengatasinya.

“Berdasarkan jawapan yang dikeluarkan oleh Syabas, paip utama dan paip komunikasi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kebanyakannya berusia 40 tahun dan berlaku pengaratan dalaman paip hingga menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil.

“Oleh itu air tidak dapat disalurkan ke premis pengguna dengan mencukupi menyebabkan tekanan air menjadi rendah, namun masalah itu akan diatasi segera,” katanya lagi.

-EZY-

Leave a Reply

Your email address will not be published.