Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri digesa adakan pertemuan dengan pengusaha bot pukat tunda

Pada hari ini 16 Jun 2014, saya menjadi orang tengah dan mengaturkan satu sesi dialog, agar Timbalan Menteri Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Dato’Tajuddin Abdul Rahman dapat bertemu dengan pengusaha-pengusaha bot pukat tunda zon “B” bagi 4 buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Tujuan dialog ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha untuk meluahkan masalah berkenaan dengan perlaksanaan peraturan baru bermula 1 Jun 2014 yang memperluaskan kawasan penangkapan ikan di zon “B”.

Peraturan baru ini telah memperluaskan kawasan penangkapan ikan zon “B’ dari 5 batu nautika hingga 12 batu nautika sebelum ini ke 8 batu nautika hingga 15 batu nautika. Setiap negeri telah diwakili oleh 5 orang pengusaha-pengusaha.

Maklum balas yang saya terima dari pengusaha-pengusaha bot pukat tunda zon “B” ialah bot mereka tidak mempunyai kapasiti (horse power) yang besar, oleh itu tidak mampu menanggung pukulan ombak yang kencang di kawasan 15 batu nautika dari pantai.

photo 6Ini menyebabkan ramai nelayan tiada keinginan untuk keluar menangkap ikan kerana bimbang akan keselamatan diri sendiri.

Oleh yang demikian, dalam memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Menteri, pengusaha-pengusaha telah mengutarakan masalah mereka dan juga mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kementerian dalam masa yang sama dapat mengekalkan sumber pendapatan pengusaha dan juga menjaga kesinambungan sumber laut.

Antaranya :

1) Wujudkan 2 jenis lesen B, iaitu lesen B1 dan lesen B2. Lesen B1 perlu dikekalkan kawasan penangkapan ikan seperti dulu iaitu dari 5 batu nautika ke 12 batu nautika tetapi dihadkan hanya kepada nelayan-nelayan tempatan. Dan lesen B2 diberikan kepada nelayan-nelayan asing dan kawasan penangkapan adalah seperti peraturan baru iaitu 8 batu nautika hingga 15 batu nautika.

2) Mengetatkan penguatkuasaan terhadap bot pukat tunda yang melanggar kawasan. Sebenarnya pengusaha bot zon “B” menyokong penuh pihak berkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan tegas terhadap bot pukat tunda yang melakukan kesalahan dan menceroboh masuk ke kawasan lain, tindakan ini adalah adil terhadap bot pukat tunda yang sentiasa mematuhi peraturan.

3) Mengikut peraturan baru yang kuatkuasa 1 Jun 2014, pengusaha zon “B” yang melakukan kesalahan akan digantung lesen selama 1 tahun. Tindakan ini dianggap terlalu berat dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan. Mereka meminta kementerian semak semula keputusan ini.

Saya juga mencadangkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) lebih kerap mengadakan perbincangan dengan semuanelayan sebelum mengubal satu peraturan, dan juga sentiasa mendengar rintihan dan juga pendapat nelayan untuk mencari kaedah penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

Saya percaya semua nelayan rela memberi kerjasama sepenuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan kesinambungan sumber laut bagi masa hadapan, kerana pertambahan sumber laut akan menjamin sumber pendapatan nelayan.

Akhir sekali, saya memasang harapan tinggi agar masalah ini dapat diselesaikan secara positif dan membawa kebaikan kepada semua pihak.

Saya percaya kementerian akan membuat perubahan yang bersesuaian selepas mendengar rintihan dari nelayan.

Terima Kasih.

* Sim Tze Tzin adalah Ahli Parlimen Bayan Baru

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.