Categories
SELANGOR

MPSJ tunggu kelulusan UPM 2 kolam tadahan tebatan banjir dibina

SHAH ALAM 1 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini hanya menunggu kelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum dua kolam tadahan bagi Projek Tebatan Banjir Seri Serdang dapat dibina dan dinaiktarafkan.

Ia berikutan kolam tadahan berkenaan terletak dalam kawasan UPM dan memerlukan kebenaran serta kelulusan pengurusan institusi pengajian awam tersebut bagi pelaksanaannya.

mpsjYang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, beberapa projek dikenal pasti perlu dilaksanakan bagi mengekang kejadian banjir berulang di Seri Serdang dan Serdang Jaya.

Pembinaan kolam tadahan tersebut dikenal pasti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah pencegahan masa panjang.

Projek lain termasuk menaik taraf sistem perparitan di Seri Serdang, mendalamkan Sungai Kuyoh dan membina rumah pam di Seri Kembangan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada UPM memohon kebenaran bagi membolehkan JPS masuk ke kawasan itu membina dan menaik taraf kolam takungan sedia ada.

“JPS dan majlis tidak boleh sesuka hati masuk ke kawasan UPM, perbincangan sudah dibuat dan permohonan dalam pertimbangan pihak itu.

“Lembaga Pengarah UPM akan putuskan jawapan sama ada membenarkan atau tidak projek dijalankan di tanah seluas lima ekar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dengan pembinaannya kelak, dijangka dapat menampung lebihan air hujan dari Wilayah Persekutuan dan Kajang yang melalui Sungai Kuyoh.

Asmawi memaklumkan kos projek tebatan banjir di Seri Serdang membabitkan tiga agensi termasuk JPS, MPSJ dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu dianggarkan mencecah RM8.7 juta.

Disebabkan tiada dana khusus, MPSJ jelasnya terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan negeri.

“Urusan perjanjian pinjaman sudah selesai, kini hanya menunggu peruntukan disalurkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.