Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri disaran ambil alih kuasa pelaksanaan MAIS

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Negeri disaran untuk mengambil kuasa pelaksanaan yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata langkah itu penting bagi memastikan segala keputusan dilaksanakan selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

“MAIS patut serahkan pelaksanaan kepada badan eksekutif Kerajaan Negeri melalui Exco agamanya, jadi Exco akan keluarkan arahan secara hikmah dan bijaksana.

“Kalau pelaksanaan diserahkan kepada eksekutif pilihan rakyat, pendekatan mungkin berbeza kerana kerajaan tahu batas-batas apabila berkaitan urusan dengan bukan Islam,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataannya sebelum ini bersama tiga lagi Ahli Parlimen PAS mencadangkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada MAIS.

Pada masa sama, Khalid juga menolak dakwaan beliau mahu bidang kuasa Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri ini dihapuskan.

“Kita mahu institusi diraja diselamatkan, demi kepentingan Sultan Selangor sendiri.

“Saya juga percaya Sultan Selangor pasti mahu segalanya dilakukan dengan baik, tertib dan penuh hikmah selaras dengan Islam sebenar,” katanya lagi.

MAIS ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 bertujuan menasihatkan Sultan Selangor dalam hal ehwal Islam dan adat Melayu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.