Categories
SELANGOR

RM30,000 disumbang untuk atlet paralimpik ke SOPMA

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 JUN : Sejumlah RM30,000 disumbangkan Kerajaan Negeri sebagai persediaan bagi atlet paralimpik yang mewakili Selangor pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-18 yang berlangsung pada 13 hingga 20 Jun ini di Melaka.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu merujuk kepada aspek latihan dan kelengkapan kepada setiap atlet kurang upaya (OKU) yang berjaya menunjukkan kebolehan mereka dalam acara sukan.

Flag1Beliau berkata acara sukan dianjurkan setiap tahun itu mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Selangor yang mahu melihat golongan OKU mampu mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Jika tahun lepas kita lebih menumpukan kepada kebajikan OKU dengan memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya, tetapi tumpuan kita tahun ini adalah bagaimana untuk melonjak peranan mereka di dalam bidang yang diceburi dan berjaya.

“Ramai anak-anak daripada sekolah pekak menunjukkan kebolehan mereka dalam sukan jadi Kerajaan Negeri setuju untuk beri bantuan sebanyak RM30,000 supaya mereka boleh bersiap sedia dari segi latihan.

“Saya mengharapkan seperti mana tahun lalu, walaupun Selangor menunjukkan prestasi yang baik tetapi dengan sokongan mantap daripada pimpinan kerajaan mereka akan pergi lebih jauh,” katanya semasa merasmikan pelepasan bendera ke temasya Sopma di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata para atlet yang terpilih untuk mewakili Selangor pada acara sukan berkenaan mendapat latihan dan bimbingan lanjut daripada Persatuan Sukan Orang Pekak di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap beberapa atlet paralimpik Selangor yang sebelum ini berjaya mencatat kejayaan luar biasa pada temasya sukan di London.

“Apa yang hendak simpulkan ialah saya mahu tunjukkan kepada masyarakat di luar sana bahawa Selangor kini berada pada tahap melihat kesejahteraan rakyat dilakukan secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu bicara soal OKU hanya kebajikan semata-mata tetapi kita ingin lihat peluang yang sesuai untuk menempatkan mereka supaya mereka boleh hidup dengan normal,” katanya lagi.

Sopma kali ini bakal melibatkan kira-kira 1,000 atlet kurang upaya pendengaran termasuk pegawai dari seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran Sopma kali ini juga membabitkan atlet dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei untuk bersaing dalam tujuh acara sukan yang dipertandingkan.

Tujuh acara berkenaan termasuklah bola sepak, futsal, badminton, boling tenpin, boling padang, olahraga dan bola jaring.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.