Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet olahraga para di landasan terbaik hadapi Paralimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Selepas mengharungi beberapa kejohanan simulasi dan menjalani latihan intensif sejak Jun lepas, skuad olahraga para negara kini berada di landasan terbaik untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadual pada Ogos tahun depan.

Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para negara R Jaganathan berkata dalam tempoh kira-kira lapan bulan menjelang temasya sukan para terbesar di dunia itu, anak didiknya kini hanya perlu memantapkan ketahanan mental dan diberi pendedahan bertanding di kejohanan luar bagi memastikan mereka cukup bersedia dan tidak gementar menghadapi saingan pada Sukan Paralimpik Tokyo.

“Sekarang mereka boleh dikatakan sudah 85 peratus bersedia untuk bersaing di Tokyo, hanya perlu pastikan ketahanan mental berada dalam keadaan terbaik. Saya harap sangat temasya sukan ini tidak akan ditunda.

Jika ditunda lagi, ia sangat mengganggu prestasi atlet dan mereka tidak boleh fokus. Saya mengaku agak susah mahu pastikan mereka sentiasa positif selepas temasya sukan itu ditunda,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Setakat ini, empat atlet para iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) sudah layak ke Paralimpik Tokyo selepas meraih pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19.

Mengenai kelonggaran diberikan kerajaan berkaitan penganjuran kejohanan di peringkat antarabangsa, Jaganathan berkata inisiatif dilaksanakan itu bertepatan bagi “menghidupkan” semula sektor sukan yang terjejas akibat penularan penyakit itu.

Namun, Jaganathan menegaskan selaku jurulatih, beliau lebih mementingkan keselamatan dan kesihatan anak didiknya yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih rapi berbanding atlet normal, sebelum memutuskan menghantar mereka ke luar negara.

“Kalau pergi ke kejohanan luar negara, saya akan pastikan ia berbaloi dan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti digariskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi tahun 2021, skuad olahraga para negara akan sertai Kejohanan Grand Prix IPC yang bermula di Dubai, diikuti Brazil dan Itali. Ini adalah kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo,” katanya.

Pada 18 Dis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengenai kebenaran menganjurkan kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa namun ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen.

Beliau berkata penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran Imigresen, begitu juga dengan penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran JIM.

Dalam perkembangan lain, Jaganathan memaklumkan beliau merancang untuk mengadakan empat sirkit kebangsaan bermula pada Mac depan bagi memilih wakil negara ke Sukan Para ASEAN 2021 di Hanoi, Vietnam.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

RM30,000 disumbang untuk atlet paralimpik ke SOPMA

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 JUN : Sejumlah RM30,000 disumbangkan Kerajaan Negeri sebagai persediaan bagi atlet paralimpik yang mewakili Selangor pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-18 yang berlangsung pada 13 hingga 20 Jun ini di Melaka.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu merujuk kepada aspek latihan dan kelengkapan kepada setiap atlet kurang upaya (OKU) yang berjaya menunjukkan kebolehan mereka dalam acara sukan.

Flag1Beliau berkata acara sukan dianjurkan setiap tahun itu mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Selangor yang mahu melihat golongan OKU mampu mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Jika tahun lepas kita lebih menumpukan kepada kebajikan OKU dengan memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya, tetapi tumpuan kita tahun ini adalah bagaimana untuk melonjak peranan mereka di dalam bidang yang diceburi dan berjaya.

“Ramai anak-anak daripada sekolah pekak menunjukkan kebolehan mereka dalam sukan jadi Kerajaan Negeri setuju untuk beri bantuan sebanyak RM30,000 supaya mereka boleh bersiap sedia dari segi latihan.

“Saya mengharapkan seperti mana tahun lalu, walaupun Selangor menunjukkan prestasi yang baik tetapi dengan sokongan mantap daripada pimpinan kerajaan mereka akan pergi lebih jauh,” katanya semasa merasmikan pelepasan bendera ke temasya Sopma di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata para atlet yang terpilih untuk mewakili Selangor pada acara sukan berkenaan mendapat latihan dan bimbingan lanjut daripada Persatuan Sukan Orang Pekak di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap beberapa atlet paralimpik Selangor yang sebelum ini berjaya mencatat kejayaan luar biasa pada temasya sukan di London.

“Apa yang hendak simpulkan ialah saya mahu tunjukkan kepada masyarakat di luar sana bahawa Selangor kini berada pada tahap melihat kesejahteraan rakyat dilakukan secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu bicara soal OKU hanya kebajikan semata-mata tetapi kita ingin lihat peluang yang sesuai untuk menempatkan mereka supaya mereka boleh hidup dengan normal,” katanya lagi.

Sopma kali ini bakal melibatkan kira-kira 1,000 atlet kurang upaya pendengaran termasuk pegawai dari seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran Sopma kali ini juga membabitkan atlet dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei untuk bersaing dalam tujuh acara sukan yang dipertandingkan.

Tujuh acara berkenaan termasuklah bola sepak, futsal, badminton, boling tenpin, boling padang, olahraga dan bola jaring.

EZY