Categories
SELANGOR

Sindiket penipuan bukan program Kerajaan Negeri

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 8 JUN : Skim bekerja daripada rumah dan pembekalan barang-barang yang didakwa menipu baru-baru ini sama sekali bukan program Kerajaan Negeri.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata skim itu dijalankan sebuah syarikat swasta dan beliau selaku wakil rakyat di kawasan itu sekadar hadir menyempurnakan perasmian skim itu.

Beliau juga kesal terdapat pihak termasuk wakil rakyat masih keliru dan mempolitikkan perkara itu hingga tidak fokus kepada isu sebenar.

_MG_1583“Ketika perasmian, saya berkali-kali berpesan dalam ucapan saya untuk semua pihak berhati-hati, jika mahu sertai skim pastikan ada kontrak kerja untuk mengelakkan diri ditipu.

“Malah saya sendiri berkata pada hari itu, jika didapati menipu saya akan mengambil tindakan.

“Sehubungan itu, apabila mula terdapat aduan, saya sendiri lebih awal hadir ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada pertengahan April lalu, Rodziah hadir ke majlis perasmian syarikat berkenaan yang antara lain menawarkan tawaran bekerja daripada rumah dengan gaji RM800 sebulan.

Bagaimanapun, mereka yang berminat perlu membuat bayaran deposit serendah RM200 malah ada yang memberi wang deposit sehingga RM50,000.

rodziah interview pink 01Sehubungan itu, ramai mangsa termasuk wakil rakyat menyatakan kekesalan dengan Kerajaan Negeri yang didakwa terlibat dan gagal menangani masalah penipuan ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar yang juga seorang peguam, G. Manivannan hadir ke pejabat syarikat berkenaan dan bertemu mangsa skim.

Beliau memberi tempoh 48 jam kepada pihak polis untuk bertindak dan menjalankan siasatan, jika tidak akan membawa perkara berkenaan ke Parlimen pada Isnin ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan mempolitikkan perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan tugas.

“Memang menjadi kebiasaan untuk ahli politik dijemput hadir merasmikan mana-mana majlis, saya juga begitu.

“Dalam kes ini, mungkin juga syarikat mengambil kesempatan menggunakan pengaruh pimpinan negeri untuk menarik orang ramai menyertai skim.

“Jadi saya nasihatkan kepada ahli politik selepas ini untuk lebih berhati-hati dan memeriksa dulu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.