Categories
SELANGOR

Tatkala TNB untung berbilion, 50 keluarga Pangsapuri di Kajang bergelap & kepanasan

KAJANG, 27 JUN: Lebih 50 keluarga Pangsapuri Sederhana Taman Bukit Permai di sini sudah dua malam bergelap setelah Tenaga Nasional (TNB) memotong bekalan elektrik ke kediaman mereka.

Pemotongan bekalan elektrik itu didakwa berpunca daripada kegagalan pemaju taman itu membayar tunggakan bil penyelengaraan elektrik yang kini mencecah lebih RM50,000.

IMG-20140626-WA0127Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Adram Musa memberitahu beliau berjumpa dengan penduduk terlibat dan meminta MPKj, TNB dan juga pemaju taman tersebut agar segera bertemu dan berbincang bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu.

Beliau kesal dengan tindakan TNB memotong bekalan elektrik ke pangsapuri berkenaan tanpa mengambil kira masalah terpaksa dihadapi penduduknya sedangkan berita baru-baru ini menyebut TNB mengaut keuntungan mencecah RM4.61 bilion.

“Dengan keuntungan yang diperolehinya begitu besar, TNB sepatutnya lebih peka dan prihatin dengan masalah penduduk terutamanya kanak-kanak yang bersekolah serta orang tua-tua dan jangan hanya memikirkan soal keuntungan,” kata Mohd Adram.

TNBBeliau juga kesal dengan sikap acuh tak acuh pemaju yang didakwa hanya mahu melepaskan tangan dan membiarkan penduduk terkontang-kanteng menghadapi masalah itu sendiri.

Berkaitan dengan status pemajuan kawasan itu, seperti pemaju bertanggungjawab, status hakmilik, kerosakan lif yang sudah bertahun beliau meminta pihak media merujuk kepada pihak pengurusan MPKJ untuk mendapat maklumat rasmi.

Mohd Adram juga menggesa Pihak penguatkuasa MPKj agar dapat mengambil tindakan kepada pihak yang menceroboh secara haram lot- lot rumah tidak diduduki kerana mendapat aduan kacau ganggu berlaku di kawasan perumahan tersebut.

Beliau turut menjelaskan antara punca awal penyelenggaran tidak sempurna di kawasan itu disebabkan berlaku runtuhan cerun di sebelah pangsapuri tersebut, menyebabkan ramai penduduk tidak mendiami rumah mereka.

Usaha semua pihak, tembok itu dibaiki MPKj yang menelan belanja mencecah RM4 juta.

Menurutnya, satu mesyuarat antara Ahli majlis MPKj, Pemaju, Pesuruhjaya Bangunan MPKj, TNB serta wakil penduduk pangsapuri itu dengan kerjasama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Ustaz Shafie Ngah akan diadakan bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.