Categories
NASIONAL

Ugut guru sokong DAP, BN makin melampau

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Gangguan pegawai kanan Kementerian Pendidikan terhadap guru yang memuat naik poster calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan di facebooknya adalah tindakan keterlaluan.

Memetik Keadilan Daily, hal itu berlaku apabila pegawai berkenaan menghubungi guru terbabit dan turut memberi ‘nasihat’.

Pengarah Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abbas Awang, berkata tindakan itu dianggap beliau sebagai ugutan serta menyekat kebebasan guru untuk bersuara.

abas-awang-4-300x200“Ini tindakan terkebelakang, kementerian tidak seharusnya menyekat kebebasan guru untuk menyatakan pendirian mereka. Dengan sekatan itu, bermakna kementerian sedang menjadikan mutu guru merosot,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang guru yang tidak mahu namanya disiar mendakwa dihubungi seorang pegawai kanan kementerian yang meminta dia menutup laman facebooknya dan menyatakan sedang ‘diawasi’.

Guru yang berkhidmat selama 16 tahun itu mendakwa, kementerian lebih berminat memantau laman sosialnya berbanding mengambil tindakan terhadap sebilangan guru yang terbabit dalam masalah lebih serius.

Abbas yang juga bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan tidak terkejut dengan tindakan kementerian dan beranggapan ia dilakukan atas arahan pihak tertentu.

Jelasnya, arahan itu dikeluarkan akibat ketakutan dan rasa terancam BN terhadap sokongan guru dan penjawat awam terhadap
kemaraan Pakatan Rakyat.

“Inilah punca kualiti pendidikan kita merudum kerana ada pihak lebih utamakan kuasa politik berbanding berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.