Categories
NASIONAL

Utusan Malaysia ‘enggan’ menghadap Sultan Johor jika dipanggil

SHAH ALAM 8 JUN: Akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang lantang mengkritik tindakan Kerajaan Johor melibatkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pentadbiran melalui kolumnisnya Awang Selamat enggan menghadap pemerintah negeri itu sekiranya dipanggil.

Dalam ruangan “Bisik-bisik Awang Selamat‎ ” kolumnis itu menyatakan sekiranya Sultan Johor ingin membuat teguran atau mendapatkan penjelasan, cukup dilakukan dengan menghantar wakil berjumpa dengan Utusan Malaysia.

utusan1“Adalah tidak sesuai bagi Sultan mencemar duli berurusan secara langsung dengan mana-mana editor jika timbul situasi yang tidak menyenangkan‎.

“Awang pun kalau menjadi bos media tidak mahu datang sekiranya dipanggil menghadap untuk tujuan seperti itu melainkan jika diundang untuk berbuka puasa atau hal-hal lain yang kita semua boleh merasa selesa,” katanya dalam Mingguan Malaysia hari ini dipetik The Malaysian Insider.

Selain itu, Awang Selamat juga menafikan ‎terdapat arahan daripada pihak Istana agar Utusan Malaysia menghadap Sultan Johor berhubung isu tersebut.

Kolumnis itu berkata, media harus berhenti terlalu risaukan akan teguran sekiranya menyentuh mengenai perihal institusi Diraja.

“Itulah pertanyaan biasa dalam kalangan orang media setiap kali ada isu sensitif yang menyentuh istana Johor. Apa yang Awang boleh tolong jawabkan bagi pihak Utusan – tiada.

‎”Keresahan orang media terhadap perkara seperti itu patut dihentikan. Sebenarnya tiada sebab dalam era moden terutama landskap media yang baru, pembesar istana boleh sesuka hati memanggil editor atau wartawan, apatah lagi untuk dimarahi. Itu bukan cara wajar,” katanya sepertimana dipetik dalam akhbar itu hari ini.

Awang Selamat juga percaya Sultan Johor juga tidak akan sesekali merendahkan nilai darjatnya sebagai seorang Raja dengan bertindak memanggil pihak Utusan Malaysia untuk menghadapnya.

“Jika ada sebarang teguran atau mahukan penjelasan daripada Awang percaya Sultan Johor walaupun terkenal dengan sikap tegasnya, adalah seorang budiman dan tidak akan merendahkan nilai serta darjatnya sebagai seorang Raja. Lebih-lebih lagi, zaman sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata, amalan mengutuskan wakil tanpa perlu dibawa mengadap juga merupakan amalan biasa bagi negara yang mempunyai institusi Diraja seluruh dunia.

“Itulah juga amalan pihak istana di Eropah, Jepun dan Thailand malah kesultanan negeri lain di negara ini kerana tidak mahu wujud salah tanggapan seolah-olah ada pihak seperti dibuli,” katanya.

‎Akhbar milik Umno awal minggu ini dalam ruangan muka depannya menyiarkan pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno yang mahukan kerajaan Johor menangguhkan pembentangan RUU tersebut.

Antaranya reaksi daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penglibatan institusi raja dalam pentadbiran kerajaan negeri akan dikhuatiri akan menjurus kepada perasaan tidak menghormati institusi itu dalam kalangan rakyat.

Utusan Malaysia juga membuat pendedahan mengenai pendirian kerajaan Johor memberikan kuasa mutlak kepada Sultannya dalam urusan membabitkan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).‎

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.