Categories
SELANGOR

Abdul Khalid ucap takziah kepada keluarga Sharifah Aini

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 JUL: Awal pagi ini, negara dikejutkan dengan berita pemergian biduanita terkenal, Datuk Sharifah Aini yang disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Berita sedih itu dikongsi secara meluas di laman sosial seperti Twitter dan Facebook yang kebanyakannya meluahkan rasa sedih mereka di atas pemergian allahyarhamah yang juga bintang besar dalam industri seni tanah air.

Tidak terkecuali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga allahyarhamah Sharifah Aini dan berdoa supaya rohnya sentiasa dicucuri rahmat.

Sharifah Aini“Mendapat khabar pagi ini bahawa Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini pergi meninggalkan kita.

“Takziah kepada keluarga allahyarhamah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan yang terbaik. Al-fatihah,” tulisnya di Twitter.

Allahyarhamah yang juga dikenali sebagai Kak Pah, 61, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.

Beliau meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu dan dimasukkan ke hospital susulan kesukaran bernafas awal pagi 30 Jun lalu.

pic tan sri khalid tokoh reformasiTitik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam dan allahyarhamah kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.

Kak Pah pernah merakamkan 93 buah album termasuk 7 album Inggeris dan antara lagu popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung serta Kau Tinggi Di Awan Biru.

Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album serta menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.