Categories
SELANGOR

Bekalan air bersih ke Pulau Ketam, Sungai Lima dijangka pulih Jumaat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 JUL: Bekalan air bersih ke Pulau Ketam dan Sungai Lima dijangka pulih seawal 11 Julai ini apabila kerja mengganti paip dasar laut akan memasuki fasa pemasangan semula dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Dr Halimah Ali, berkata ketika ini Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sedang giat menjalankan pemeriksaan tekanan paip High Density Polyethylene (HDPE) sebelum kerja pemasangan boleh dijalankan.

“Kerja membabitkan penukaran paip sepanjang 160 meter ekoran kebocoran paip dasar laut. Kerjanya agak rumit, terpaksa dijalankan secara manual oleh penyelam profesional.

DSC_6375“Bagaimanapun nampaknya usaha keras SYABAS berjaya mengesan kebocoran dan kerja menggantikan paip dapat dimulakan.

“Kerja menyambung dijangka selesai Jumaat ini (11 Julai) dan Insya Allah bekalan air dapat disambung selepas itu,” katanya ketika meninjau kerja baik pulih dijalankan di kawasan tengah laut antara Pulau Ketam dan Jeti ke Pulau Ketam.

Beliau berkata, kerja pembaikan itu amat merumitkan apabila penyelam terpaksa menyelam ke dasar laut sedalam 15 hingga 18 meter dalam keadaan jarak penglihatan terhad.

DSC_6319Jarak penglihatan dianggarkan cuma kira-kira satu kaki walaupun menggunakan bantuan cahaya lampu penyelam.

Selain itu, penyelam juga terpaksa menyedut pasir yang menutup paip dengan menggunakan mesin penyedut khas terlebih dahulu sebelum paip dapat dikeluarkan.

“Bagi mengatasi masalah ini tidak berulang, saya akan meminta pihak bertanggungjawab bagi memastikan kerja pemantauan dapat dijalankan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti di sini,” katanya.

Ketika mengulas keadaan penduduk Pulau Ketam dan Sungai Lima, SYABAS ketika ini sudah menambah daripada 2,500 botol berisi 2.5 liter air bersih kepada 4000 botol seperti disaran Dr Halimah.

DSC_6316Selain itu, sebuah tangki berkapasiti 1,200 gelen juga disediakan bagi menghadapi peningkatan permintaan air bersih di Sungai Lima.

Paip sepanjang 18 kilometer yang membekalkan air bersih ke Pulau Ketam dan Sungai Lima didapati bocor sehingga menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air, pada 21 Jun lalu.

Pada 23 Jun lalu, SYABAS memulakan kerja mengesan kebocoran dan menggali pasir bagi mengganti paip di dasar laut sepanjang 160 meter.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.