Categories
NASIONAL

Chong Wei cedera, harapan beraksi di Komanwel tipis

SHAH ALAM, 5 JUL: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mengetuai skuad badminton negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau menerima berita bahawa Chong Wei mengalami kecederaan yang menyebabkannya mungkin tidak dapat menyertai skuad negara ke Scotland.

“Saya ada terima berita dari Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin tidak dapat mengizinkan beliau bermain di Sukan Komanwel ,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Lee Chong WeiBeliau berkata, jika perkara berkenaan disahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan strategi terbaik bagi mencari pengganti Chong Wei.

“Saya harap BAM akan dapat buat pilihan terbaik untuk menggantikan beliau dan pemain lain harus menunjukkan prestasi baik untuk menampung kehilangan Chong Wei terutama dalam acara berpasukan.

“Jika perkara ini betul dan disahkan, ia adalah kehilangan besar buat kita sebab semua mengharapkan beliau untuk dapat satu atau dua pingat emas,” katanya.

Adalah difahamkan pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lalu dan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan.

KHAIRYISN juga dikhabarkan sudah memaklumkan kepada pemain itu bahawa penyertaannya dalam Sukan Komanwel kali iniadalah keputusan yang tidak bijak kerana beliau memerlukan rawatan secara terperinci.

Selepas Sukan Komanwel, Chong Wei juga dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.