Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu Pengarah UMCEDEL: Kebebasan akademik & bersuara terancam

BERSIH 2.0 mengecam sekerasnya tindakan campur tangan Kementerian Pendidikan dalam urusan Universiti Malaya yang telah menyebabkan perletakan jawatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Dr Mohamad Redzuan Othman.

Adalah amat mengecewakan apabila Kementerian Pendidikan menyerang Dr Redzuan dan hasil kajian akademik tinjauan dan persepsi pilihan raya oleh beliau yang didakwa memburukkan imej Barisan Nasional.

Prof Redzuan OthmanTindakan campur tangan oleh Kemeterian Pendidikan tersebut boleh disifatkan sebagai percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan sebuah lagi pencabulan ke atas kebebasan akademik.

Kebebasan bersuara dan kebebasan akademik adalah asas kepada pembentukan prinsip akademik.

Seseorang pensyarah atau pengajar seharusnya mempunyai ruang yang bebas untuk mengajar dan membincangkan idea dan fakta (termasuklah yang tidak menyebelahi pemerintah), manakala cendekiawan seharusnya mempunyai hak untuk berfikir, berbicara, dan melontarkan persoalan.

Hak yang dinyatakan ini seharusnya boleh diamalkan tanpa sebarang ancaman mahupun tekanan kehilangan kerja, penarikan dana, hukuman, atau sebagainya.

Tindakan Kementerian tersebut turut membenamkan lagi perdebatan dan wacana sihat berkaitan dengan plihan raya bersih dan adil.

Segenap masyarakat dalam negara ini telah mendapat manfaat hasil daripada sumbangan kajian akademik seperti yang dikeluarkan oleh Dr Redzuan dan badan-badan lain seumpamanya.

BERSIH 2.0 turut merakamkan ucapan tahniah kepada tindakan berprinsip Dato Saifuddin Abdullah yang meletakkan jawatan beliau sebagai Felo Penyelidik di universiti yang sama dan keberanian Kesatuan UM dan kakitangan akademiknya (PKAUM) yang bersuara menentang tindakan kementerian. Keberanian dan prinsip yang ditonjolkan ini menjadi contoh yang sangat membanggakan.

BERSIH 2.0 dengan ini menggesa agar Prof Dr Redzuan Othman dilantik semula ke jawatan beliau dengan segera.

Kami turut menggesa agar Kementerian Pendidikan tidak lagi campur tangan dan membenarkan Universiti Malaya menguruskan sendiri hal-ehwal yang berkaitan pusat kajian mereka termasuklah perlantikan dan penjawatan staf akademik.

Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Leave a Reply

Your email address will not be published.