Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri failkan rayuan kes pampasan Alam Perdana

SHAH ALAM 12 JULAI: Kerajaan Negeri mengarahkan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri memfailkan notis rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pampasan kepada pemaju perumahan Alam Perdana, LBCN Development Sdn Bhd (LBCN) dinilai berdasarkan status pembangunan bercampur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri berpendapat pampasan terhadap LBCN yang dipersetujui sebelum ini adalah memadai kerana mengikut penilaian dibuat Jabatan Penilaian Hartanah berdasarkan tanah pertanian dengan potensi untuk pembangunan.

Alam perdanaBeliau berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh membayar pampasan kepada LBCN berdasarkan status pembangunan sepenuhnya kerana syarikat itu melanggar peraturan-peraturan dan syarat ditetapkan Pihak Berkuasa tempatan dan Kanun Tanah Negara 1965.

“LBCN mengaku gagal membayar premium tanah, gagal menukar status tanah dari pertanian kepada pembangunan dan menjalankan projek pembangunan secara haram dan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Menteri Besar berkata, syarikat pemaju tidak layak untuk mendapatkan pampasan yang lebih daripada nilai pampasan yang dipersetujui sebelum ini dibayar Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid juga menyelar tindakan peguam LBCN membuat kenyataan media kepada wartawan di luar mahkamah pada 9 Julai lalu kononnya mahkamah bersetuju bahawa nilaian tanah sepatutnya nilaian tanah pembangunan dan menganggarkan tuntutan gantirugi akan mencecah RM1 billion.

Kenyataan peguam Plaintif ini jelas sekali satu kenyataan prejudis terhadap kes mahkamah yang sedang berjalan dengan memberi perspektif negatif terhadap Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penilaian Harta Negeri dan Jabatan Pernilaian harta Persekutuan.

Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri akan menghantar surat bantahan rasmi kepada peguam Plaintif atas tindakan beliau.

Projek Bandar Alam Perdana melibatkan projek pembangunan rumah kos rendah dan rumah teres telah terbengkalai sejak tahun 2002.

Kerajaan Negeri terpaksa merampas tanah-tanah kerana peneroka-peneroka telah menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk dimajukan dan ribuan pembeli rumah telah gagal mendapat rumah mereka.

Pada 9 Julai baru-baru ini, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan supaya pampasan terhadap tanah-tanah LBCN yang dirampas oleh Kerajaan Negeri dinilai mengikut pembangunan bercampur.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.