Categories
KENYATAAN MEDIA

Pampasan tanah Alam Perdana: Kerajaan Negeri failkan rayuan

Kerajaan Negeri telah mengarahkan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri supaya memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pampasan kepada pemaju perumahan Alam Perdana, LBCN Development Sdn Bhd (LBCN) dinilai berdasarkan status pembangunan bercampur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa pampasan terhadap LBCN yang telah dipersetujui sebelum ini adalah memadai kerana mengikut penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Hartanah berdasarkan tanah pertanian dengan potensi untuk pembangunan.

Alam perdanaBeliau berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh membayar pampasan kepada LBCN berdasarkan status pembangunan sepenuhnya kerana syarikat itu telah melanggar peraturan-peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa tempatan dan Kanun Tanah Negara 1965.

Beliau berkata, LBCN telah mengaku gagal membayar premium tanah, gagal menukar status tanah dari pertanian kepada pembangunan dan menjalankan projek pembangunan secara haram dan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Berdasarkan fakta-fakta ini, Menteri Besar berkata, syarikat pemaju tidak layak untuk mendapatkan pampasan yang lebih daripada nilai pampasan yang telah dipersetujui sebelum ini untuk dibayar oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar juga menyelar tindakan peguam LBCN yang membuat kenyataan media kepada wartawan di luar mahkamah pada 9 Julai lalu kononnya mahkamah telah bersetuju bahawa nilaian tanah sepatutnya nilaian tanah pembangunan dan menganggarkan tuntutan gantirugi akan mencecah RM1 billion.

Kenyataan peguam Plaintif ini jelas sekali satu kenyataan prejudis terhadap kes mahkamah yang sedang berjalan dengan tujuan memberi perspektif negatif terhadap Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penilaian Harta Negeri dan Jabatan Pernilaian harta Persekutuan. Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri akan menghantar surat bantahan rasmi kepada peguam Plaintif atas tindakan beliau.

Projek Bandar Alam Perdana melibatkan projek pembangunan rumah kos rendah dan rumah teres telah terbengkalai sejak tahun 2002. Kerajaan Negeri terpaksa merampas tanah-tanah kerana peneroka-peneroka telah menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk dimajukan dan ribuan pembeli rumah telah gagal mendapat rumah mereka.

Walaupun projek ini diluluskan Kerajaan Negeri ketika itu, status tanah belum ditukar dari tanah pertanian kepada pembangunan di atas kegagalan Pemaju membayar premium tukar syarat seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Kerajaan Selangor mengambil alih projek yang berkeluasan 1,037 ekar itu daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB). Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM200 juta untuk membiayai kos pembinaan rumah, pembayaran pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

Pada 9 Julai baru-baru ini, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan supaya pampasan terhadap tanah-tanah LBCN yang dirampas oleh Kerajaan Negeri dinilai mengikut pembangunan bercampur.

 

Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.