Categories
SELANGOR

MBSA hargai media, erat hubungan kerjasama

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUL: Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama media massa, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan dengan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media bertempat di Dewan Bankuet MBSA semalam.

Majlis ini sebagai penghargaan terhadap usaha dan sumbangan dalam membantu meningkatkan imej agensi berkenaan di mata masyarakat melalui hebahan program dan aktiviti yang dilakukan untuk warga penduduk Shah Alam.

MBSASelain meraikan media, MBSA meneruskan tradisi mengadakan aktiviti penyerahan sumbangan bantuan kepada anak-anak yatim dan warga kerja MBSA.

“MBSA mengenalpasti seramai 100 penerima terdiri daripada warga kerja layak menerima sumbangan Ramadan mengikut kriteria ditetapkan seperti ibu dan bapa tunggal, keluarga yang mempunyai lebih daripada lima orang anak, keluarga yang memiliki anak dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga kerja yang berpendapatan rendah.

“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban warga MBSA bagi menyambut bulan Ramadan,” kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan.

Turut hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani, Ahli-ahli Majlis MBSA, Pengarah-pengarah Jabatan MBSA serta kakitangan pelbagai jabatan MBSA yang lain.

Katanya, program ini juga merupakan platform MBSA sebagai tanda keprihatinan majlis terhadap warga kerjanya sendiri yang memerlukan bantuan serta mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan kering untuk keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, sardin dalam tin dan biskut.

Turut diraikan, kehadiran 30 orang anak-anak dari Institut Taufiq Islami, Jalan Kebun Shah Alam yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf.

Anak-anak yatim ini turut diberikan sumbangan duit raya berjumlah RM50 setiap seorang.

Majlis Berbuka Puasa ini dimulakan dengan bacaan tahlil kemudiannya diteruskan dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Penceramah Bebas, Ustaz Hariyanto Rizal Rokman serta disusuli dengan solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah sebelum diakhiri dengan majlis moreh.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.