Categories
NASIONAL

Pakatan: Najib patut contohi Chile putus hubungan dagang Israel

Oleh: Syazwani Sufian

SHAH ALAM, 21 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) menuntut Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan menggantung perbincangan Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) dengan Amerika Syarikat sehingga mereka mengambil tindakan mengutuk dan menghentikan keganasan rejim Zionis ke atas Gaza.

Dalam kenyataan media bersama, PR berkata Kerajaan Amerika bersubahat atas kesengsaraan rakyat Palestin dengan tidak mengambil tindakan, malah menjadi pembekal utama senjata bagi Israel sejak sekian lama.

IsraelKatanya walaupun Amerika adalah rakan dagang utama Israel, namun mereka gagal mengambil sebarang tindakan punitif atau menggantung perdagangan dengan rejim Zionis.

“Kami, ahli kokus perjanjian TPP daripada Pakatan akan menggantung sebarang perbincangan dengan wakil daripada Amerika sehingga diberitahu kelak.

“Diseru ahli Parlimen Malaysia yang lain untuk mendengar hati nurani mereka dan turut mengambil pendirian yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, PR turut menggesa Najib untuk mencontohi Chile dengan memutuskan kesemua hubungan perdagangan bersama Israel serta merta.

tppaKatanya Israel tidak mungkin mampu melakukan keganasan terhadap Gaza sekiranya Amerika mengambil posisi tegas untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin.

“57 peratus daripada Gaza tidak mempunyai makanan yang mencukupi sementara 80 peratus daripada populasi Gaza bergantung kepada bantuan kewangan.

“Lebih daripada 90 peratus daripada air di wilayah itu tidak selamat untuk diminum.

“Rakyat Palestin telah lama menderita akibat pengasingan politik ini, sekarang sedang dibunuh tanpa sebarang kutukan daripada Amerika,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden Amerika, Barack Obama secara jelas menunjukkan sokongan kepada Israel dalam Majlis Iftar di White House pada 14 Julai lepas dengan memberikan Ron Dermer, Duta Israel ke Amerika peluang untuk berucap dalam majlis tersebut.

Obama turut mempertahankan “hak” Israel untuk “mempertahankan diri” walaupun pada ketika ini lebih daripada 70 peratus daripada kematian yang berlaku di Gaza adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sehingga kini, tentera Israel telah membunuh lebih daripada 400 nyawa dan mencederakan lebih 2,800 penduduk Palestin.

Serangan Israel termasuk 2,602 serangan udara, dengan sejumlah 649 bangunan dibom.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.