Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembinaan rumah mampu milik Selangorku bermula Oktober

Oleh: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Projek Perumahan Mampu Milik atau Rumah Selangorku yang pertama dibina oleh Kerajaan Selangor di Sungai Sering, Hulu Klang, akan memulakan kerja-kerja menanam cerucuk pada awal Oktober ini.

Projek ini telah pun mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) manakala  Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa akan diperolehi pada Ogos ini.

Projek Rumah Selangorku menerima peruntukan Kerajaan Negeri menggunakan wang rezab negeri sebanyak RM100 juta yang dijadikan modal pusingan.  Majlis Pecah Tanah bagi projek  ini telah diadakan pada 22 Februari lalu.

Kita menjangkakan proses jual beli Rumah Selangorku ini dapat dilakukan selewat-lewatnya pada Februari 2015 dan penyerahan kunci rumah bagi Fasa 1 dijangka pada Disember 2016.

Sebanyak 2,496 unit rumah akan dibina yang mengandungi lapan blok dengan setiap blok setinggi 20 tingkat. Projek ini dibina dalam empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun setengah.

Projek ini merupakan perintis Rumah Selangorku yang mana Kerajaan Negeri merancang untuk membina lebih banyak projek rumah mampu milik seumpama ini di daerah-daerah lain.

Rumah Selangorku ini dibangunkan di atas tanah seluas 33 ekar milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan menawarkan dua pilihan  keluasan iaitu 900 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi.

Pembinaan Rumah Selangorku ini mengguna pakai kaedah Industrial Building System (Pre-Fabricated – IBS) atau pasang siap bagi mempercepatkan tempoh pembinaan berbanding kaedah konvensional.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) diberi tanggungjawab menyelia projek ini manakala syarikat Eco World UK Sdn Bhd  telah dilantik sebagai pemaju berdasarkan pengalaman luas syarikat tersebut dalam projek perumahan terutama  projek rumah mampu milik mengguna pakai konsep IBS.

Projek ini antara usaha dan komitmen Kerajaan Selangor untuk menyediakan perumahan kepada semua rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pada masa yang sama,  anak syarikat kerajaan Negeri Selangor seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) meneruskan tanggungjawab sosial untuk membina rumah mampu milik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.