Categories
BERITA UTAMA

Q & A: Abdul Khalid ceria imbau kenangan Aidilfitri, tenang sentuh kemelut penukaran MB

Sempena menjelang sambutan Aidilfitri ketika politik Selangor hangat diperkata pelbagai pihak, wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM secara eksklusif mewawancara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang gemar membahasakan diri sebagai kita.

Bagaimana aktiviti puasa dan hari raya sebagai Menteri Besar?

Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja di bawah Sultan Selangor yang bersedia menjalankan aktiviti bersama rakyat iaitu bersembahyang di lebih 19 masjid, mengadakan program sumbangan berbuka puasa, bersolat Maghrib, Isyak dan bertarawih 20 rakaat.

Ini memberi peluang bukan sahaja beribadah tetapi juga dapat bersama rakyat di seluruh negeri. Ini perlu diteruskan untuk menunjukkan tiada ruang antara pemerintah dan rakyat.

Apakah kenangan Aidilfitri zaman kanak-kanak yang paling diingati?

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Masa kanak-kanak sudah tentulah berasa lebih bebas dan ceria kerana kita rasa gembira, tidak terikat kepada adat dan tertib.

Bagaimanapun (berbeza) sekarang, dulunya kita tidak punya kesempatan untuk melihat tv warna yang adakalanya lebih besar dari layar wayang tetapi sekarang ada tv warna dan permainan elektronik.

Kami merayakan bukan sahaja hari raya tetapi malam tujuh likur dengan bermain meriam buluh yang sangat berisiko pada waktu sekarang. Kedua, berlari-lari di halaman kerana aktiviti dalam rumah tidak banyak.

Aktiviti lain yang digemari?

Pertama, yang paling saya sukai walaupun agak teruk adalah mengacau dodol. Mengacau dodol biasanya memakan masa lebih lapan jam. Kita mengacau dodol dari pagi sampailah hampir malam baru selesai. Lagi lama mengacau dodol lagi teruk sebab dodol jadi lebih kental dan memerlukan lebih banyak tenaga. Selepas berbuka puasa, kita akan bekerja kuat untuk mengacau dodol tersebut.

Kedua, kita gembira mendapat pemberian (duit raya) dari ahli keluarga tetapi tak banyak. Dahulu tak pakai ringgit, cuma beberapa puluh sen, 50 sen atau paling banyak 70 sen tetapi boleh beli nasi lemak dan juga air teh dan adakalanya roti canai.

Maknanya tidaklah banyak tetapi saya digalakkan kalau dapat duit itu saya simpan dalam buku pejabat pos, kemudian cukup duit boleh beli kasut dan baju.

Apakah juadah hari raya paling disukai?

Saya sudah tentu suka dengan ketupat dan kuah kacang. Selain itu, dari tahun ke tahun keluarga bersama-sama membakar lemang dan rendang tetapi di Kuala Selangor, rendang bukan sahaja rendang daging dan rendang ayam tetapi kita juga buat rendang kerang.

Oleh kerana kita adalah kawasan tanaman kelapa, rendang kita penuh dengan santan. Kalau sekarang tentu dianggap tinggi kolestrol tetapi pada masa itu seronok dimakan dan memberi kita tenaga dan kekuatan untuk bermain dan merayakan hari raya.

Selain ibu bapa, pusara siapa yang diziarahi?

Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang menjaga penuh tanggungjawab dan tertib. Almarhum ayah dan ibu mendidik dan setiap tahun saya membawa keluarga untuk melawat pusara dan berdoa supaya Allah memberi rahmat.

Satu lagi pusara yang saya lawati adalah bekas ketua saya, Tun Ismail Ali. Saya bekerja dengan Tun yang pernah menjadi Gabenor Bank Negara. Beliau adalah pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan saya adalah Ketua Eksekutifnya.

Saya bekerja dengannya selama 18 tahun. Beliau mendidik saya supaya menjadi orang yang boleh diamanah dan boleh dipercayai. Harta paling penting bagi kami ialah amanah yang diberi rakyat.

Copy of nazli-mbBagaimana menghadapi tekanan sebagai seorang Menteri Besar?

Perkara ini tidaklah saya anggap saya tahu apabila memasuki politik. Bagaimanapun saya tahu menyertai politik memanglah mencabar daripada pekerjaan sektor swasta tetapi saya anggap ia cabaran kepada pemimpin yang ingin menegakkan prinsip.

Kerana itu, kita mestilah mempertahankan prinsip dan kita dapat menjalankan satu reformasi untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan diri kita sendiri. Jadi perkara yang berlaku, saya anggap cabaran kepada mereka yang ingin menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pandangan Tan Sri dalam isu penukaran Menteri Besar?

Rakyat Selangor pada Mei 2013 memilih pasukan yang diketuai saya sebagai Menteri Besar di bawah panji Pakatan Rakyat. Kita berhasil meningkatkan kerusi Pakatan pada PRU-12 daripada 26 kepada 44 kerusi daripada 56 kerusi yang ditandingi. Bererti kita dapat melonjak penguasaan hingga melebihi tahap dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Ini pilihan rakyat. Sebab itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu meneliti dari segi pemilihan rakyat. Adalah perlu walaupun Pakatan ada bercita-cita untuk menggunakan Selangor sebagai asas pelancaran ke Putrajaya tetapi penting untuk memberitahu rakyat bahawa rakyat Selangor mungkin tidak memikirkan Selangor akan digunakan sebagai alat ke Putrajaya.

Walaupun rakyat bersetuju bahawa Pakatan terus berkembang tetapi tidak boleh diperalatkan untuk dijadikan batu loncatan kepada Putrajaya. Kalau ini nak dijadikan adalah baik meminta mandat semula kepada rakyat Selangor.

Berdasarkan situasi sekarang, bagaimana agaknya prestasi Pakatan pada PRU14?

Kalau perkara ini tak diselesaikan dengan penuh tertib dan penuh adab, sudah tentulah ini menjejaskan bukan sahaja PR di Selangor tetapi PR di PRU-14. Jadi, saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab dan mengikut lunas Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui bahawa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan mengepalai pentadbiran negeri Selangor iaitu menjadi Menteri Besar.

Tiga-konsesi-air-setuju-tawaran-ambil-alih-300x202Ada ura-ura mendakwa Splash mendekati individu dalam PKR bagi mendapat penyelesaian yang berpihak kepada Splash dalam isu pengambilalihan konsesi air. Benarkah dakwaan ini?

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak tetapi dia akan mencerminkan bahawa jika itu berlaku bermakna mana-mana parti yang membenarkan orang boleh melobi ke atas keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, bererti membelakangkan tujuan memberi kuasa rakyat untuk dapat kebaikan dan pentadbiran yang tulus dan bertanggungjawab.

Saya rasa perkara ini perlu dihindarkan dan berilah keupayaan kepada pentadbiran untuk mencari jalan supaya dapat menentukan pembelian konsesi air ini dibuat dengan harga berpatutan, munasabah dan mestilah menguntungkan rakyat.

Dalam kemelut sekarang, apakah mesej kepada rakyat?

Saya rasa rakyat Selangor perlu meneliti dengan penuh bertanggungjawab dan jangan pula mengikuti berita fitnah atau tidak benar. Tetapi saya rasa rakyat Selangor mesti menerima hakikat bahawa Selangor mempunyai tatacara pelantikan yang penuh tertib dalam Enakmen Kerajaan Negeri Selangor. Saya percaya sudah tentu Kerajaan Negeri dan juga pihak DYMM Sultan Selangor akan mengikuti tatacara dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published.