Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor perlu proaktif banteras wabak denggi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JULAI: Masyarakat perlu memainkan peranan proaktif dalam menjaga kebersihan demi memastikan wabak demam denggi di Selangor yang berlaku dengan kadar tinggi dapat ditangani secara berkesan.

Kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membanteras wabak terbabit daripada terus berleluasa dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengalu-alukan sebarang tindakan diambil demi kebaikan bersama.

Situasi terkini mencatatkan 34 kematian dan 27,627 kes akibat denggi berlaku di Selangor mulai Januari hingga 12 Julai lalu. Orang ramai diminta mengambil langkah perlu dan menjaga kebersihan dalam menghindari wabak demam denggi itu.

mpsj 2“Kebersihan di persekitaran tempat tinggal perlu dipelihara demi memastikan pembiakan nyamuk aedes dapat ditangani secara berkesan dan berterusan,” kata sumber jabatan.

Jabatan Kesihatan Selangor turut menasihatkan masyarakat memberikan kerjasama dengan menghubungi jabatan atau bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah seluruh Selangor untuk membuat laporan.

Sementara itu, sempena musim cuti perayaan Aidlifitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat sekitar yang ingin bercuti dan meninggalkan kediaman supaya memastikan keadaan rumah dalam keadaan bersih.

Timbalan Pengarah Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad, berkata berdasarkan pengalaman lalu, kes demam denggi dijangka meningkat selepas cuti musim perayaan yang panjang kerana penduduk tidak membersihkan kawasan persekitaran rumah dan membiarkan air bertakung di lokasi tertentu.

Katanya, orang ramai boleh menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah selain memastikan tangki air, kolah dan pasu bungan tidak membiakkan jentik-jentik aedes.

MBSA-Shahrin Ahmad“Tindakan lain yang boleh diambil adalah meletak ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas yang boleh menampung air, menghapuskan semua barangan buruk disimpan di luar rumah dan menghapuskan tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polisterin, botol, tayar buruk dan bekas lain yang boleh menakung air.

“Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan doktor jika mengesyaki dijangkiti demam denggi,” katanya.

MBSA serius dalam menangani masalah demam denggi dan berharap mendapat kerjasama masyarakat bagi memastikan kawasan pentadbiran MBSA bebas daripada wabak denggi.

Bilik Gerakan Pantas MBSA akan beroperasi 24 jam termasuk dalam cuti perayaan dan orang ramai boleh menghubungi talian terus 03-5510 5811 untuk sebarang aduan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.