Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan kesihatan negeri dapat RM940 juta urus pandemik

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Sejumlah RM940 juta telah disalurkan kepada semua jabatan kesihatan negeri bagi tujuan pelaksanaan perolehan untuk mengurus pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata antara pelaksanaan terkini adalah perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan, kerja menaik taraf taraf hospital susulan penukaran status kepada hospital Covid-19, seperti Hospital Selayang yang bertukar status pada 21 Julai lepas.

“Alhamdulillah semua jabatan ini melaksanakan urusan perolehan dengan penuh integriti dan transparent demi menjaga kepentingan pesakit ” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata perolehan juga digunakan untuk mendirikan hospital medan di Hospital Selayang serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan akan dikembangkan ke Melaka.

Beliau berkata sejumlah peruntukan juga diberi untuk meningkatkan keupayaan logistik seperti katil dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta menangani isu bekalan oksigen.

Dari segi logistik, Mohd Shafiq berkata ia termasuk kenderaan diubah suai kepada ambulans yang boleh memuatkan 20 pesakit untuk dibawa ke fasiliti kesihatan untuk rawatan segera susulan kadar kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang tinggi.

Beliau berkata mobilisasi penugasan sumber manusia juga dilakukan dengan mengisi jawatan tetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan permohonan penambahan jawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya hampir 9,000 jawatan diisi secara kontrak untuk ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta penugasan dari fasiliti lain ke Lembah Klang melibatkan lebih 2,490 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata 170 pegawai pergigian dan 85 pegawai farmasi ditempatkan sementara untuk membantu di pusat saringan dan pusat pemberian vaksin.

Mohd Shafiq berkata KKM juga akan berbincang dengan JPA untuk menambah petugas bukan kesihatan untuk membantu aktiviti pengesanan kontak.

Beliau berkata KKM juga menjaga kebajikan petugas barisan hadapan dengan pemberian elaun khas Covid-19 melibatkan hampir RM760 juta disalurkan kepada 1.5 juta orang sehingga 10 Julai lalu.

Selain elaun, beliau berkata petugas barisan hadapan juga diberikan pendedahan mengenai isu kesihatan mental dan penjagaan kesihatan mental kendiri dalam memastikan tahap kesihatan mental berada dalam keadaan yang baik.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Klang catat kes tertinggi, majoriti saringan pekerja

SHAH ALAM, 8 JAN: Klang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi dengan 726 kes hari ini, kebanyakan hasil saringan pekerja.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 466 kes dikesan di mukim Kapar manakala 260 kes lagi melibatkan mukim Klang.

Agensi itu memaklumkan Hulu Langat mencatat 117 kes iaitu 60 di mukim Kajang, Ampang (23), Cheras (16), Semenyih (sembilan), Hulu Langat (tujuh) dan Beranang (dua).

“Sebanyak 90 kes dilaporkan di Petaling dengan 43 daripadanya di mukim Sungai Buloh, Damansara (27), Petaling (15) dan Bukit Raja (lima).

“Gombak pula merekodkan 44 kes iaitu 27 kes di mukim Batu, Rawang (sembilan), Hulu Kelang (lima) dan Setapak (tiga),” tulis jabatan itu di Facebook.

Agensi tersebut menambah sebanyak 35 kes dicatat di Sepang membabitkan 28 jangkitan di mukim Dengkil, Labu (empat) dan Sepang (tiga).

Menurutnya, Kuala Langat merekodkan 31 kes dengan 24 kes dikenal pasti di mukim Tanjung Dua Belas (1), Telok Panglima Garang (empat), Jugra (dua) dan Bandar (satu).

“Sejumlah 27 kes direkodkan di Kuala Selangor, masing-masing tujuh jangkitan di mukim Bestari Jaya, Ijok dan Tanjung Karang manakala Jeram (tiga) serta Api-Api, Kuala Selangor dan Ujung Permatang (satu).

“Hulu Selangor mencatat 14 kes, sembilan daripadanya di mukim Kalumpang dan Serendah (lima) manakala dua kes di Sabak Bernam melibatkan jangkitan import,” kata agensi itu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jabatan kesihatan negeri ambil peranan lindungi zon hijau

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan kesihatan negeri diminta mengambil peranan melindungi zon hijau bagi mencegah penularan Covid-19 di kawasan masing-masing, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sudah tiba masa negeri memainkan peranan menjadi barisan hadapan mempertahankan zon berkaitan supaya tidak berubah kepada kuning atau merah.

“Kerajaan Negeri bersama jabatan kesihatan negeri masing-masing perlu mengambil peranan antaranya pemerkasaan komuniti diperkukuh bagi tujuan itu dan dalam masa sama peringkat daerah perlu tubuh jawatankuasa menangani Covid-19 dengan menurunkan mandat kepada mukim, kampung serta pengurusan kawasan rukun tetangga,” katanya ketika temubual melalui panggilan telefon pada program Selamat Pagi Malaysia hari ini.

Dr Adham berkata pihaknya sedar berlaku peningkatan kes jangkitan baharu mencecah tiga angka selepas kira-kira dua minggu kekal dua angka, namun kebanyakan adalah kes import serta dalam kalangan warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Daripada 187 kes jangkitan baharu yang direkodkan semalam, 155 dikesan dalam DTI, manakala 10 adalah kes import dan hanya empat kes membabitkan jangkitan tempatan. Pada masa sama, kadar kes pulih di negara ini adalah pada paras 79 peratus,” katanya.

MB terjah dua lokasi hotspot denggi

MB, MBSA, LPHS dan Jabatan Kesihatan turun padang, bersama terjah lokasi hotspot denggi.

Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor perlu proaktif banteras wabak denggi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JULAI: Masyarakat perlu memainkan peranan proaktif dalam menjaga kebersihan demi memastikan wabak demam denggi di Selangor yang berlaku dengan kadar tinggi dapat ditangani secara berkesan.

Kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membanteras wabak terbabit daripada terus berleluasa dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengalu-alukan sebarang tindakan diambil demi kebaikan bersama.

Situasi terkini mencatatkan 34 kematian dan 27,627 kes akibat denggi berlaku di Selangor mulai Januari hingga 12 Julai lalu. Orang ramai diminta mengambil langkah perlu dan menjaga kebersihan dalam menghindari wabak demam denggi itu.

mpsj 2“Kebersihan di persekitaran tempat tinggal perlu dipelihara demi memastikan pembiakan nyamuk aedes dapat ditangani secara berkesan dan berterusan,” kata sumber jabatan.

Jabatan Kesihatan Selangor turut menasihatkan masyarakat memberikan kerjasama dengan menghubungi jabatan atau bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah seluruh Selangor untuk membuat laporan.

Sementara itu, sempena musim cuti perayaan Aidlifitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat sekitar yang ingin bercuti dan meninggalkan kediaman supaya memastikan keadaan rumah dalam keadaan bersih.

Timbalan Pengarah Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad, berkata berdasarkan pengalaman lalu, kes demam denggi dijangka meningkat selepas cuti musim perayaan yang panjang kerana penduduk tidak membersihkan kawasan persekitaran rumah dan membiarkan air bertakung di lokasi tertentu.

Katanya, orang ramai boleh menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah selain memastikan tangki air, kolah dan pasu bungan tidak membiakkan jentik-jentik aedes.

MBSA-Shahrin Ahmad“Tindakan lain yang boleh diambil adalah meletak ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas yang boleh menampung air, menghapuskan semua barangan buruk disimpan di luar rumah dan menghapuskan tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polisterin, botol, tayar buruk dan bekas lain yang boleh menakung air.

“Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan doktor jika mengesyaki dijangkiti demam denggi,” katanya.

MBSA serius dalam menangani masalah demam denggi dan berharap mendapat kerjasama masyarakat bagi memastikan kawasan pentadbiran MBSA bebas daripada wabak denggi.

Bilik Gerakan Pantas MBSA akan beroperasi 24 jam termasuk dalam cuti perayaan dan orang ramai boleh menghubungi talian terus 03-5510 5811 untuk sebarang aduan.

-NFN-