Categories
SELANGOR

MB umum bonus raya sebulan gaji

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 JUL : Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan awam di negeri itu.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

MBBeliau berkata, sejumlah RM32.7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi urusan pemberian bonus berkenaan.

“Exco negeri bersetuju untuk memberikan bonus sebulan gaji mengikut tempoh perkhidmatan bertarikh 30 Jun ini dan keputusan berkenaan dibuat kerana laporan kewangan negeri menunjukkan pertumbuhan kutipan hasil dari tahun lepas sehingga 30 Jun 2014.

“Pada tahun lepas dalam tempoh sama, jumlah kutipan hasil adalah RM1.136 bilion dan pada tahun ini ia berjumlah RM1.162 bilion,” katanya.

Abdul Khalid berkata, keputusan pemberian bonus sebulan gaji ini turut dipanjangkan kepada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kemampuan kewangan dan keputusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat masing-masing.

“Saya berharap bonus ini dapat meringankan tanggungan warga kerja Kerajaan Negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

“Saya menyeru kakitangan awam berbelanja secara berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan pada masa hadapan,” kata Abdul Khalid.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.