Categories
KENYATAAN MEDIA

Usul Khas Tragedi Nahas Pesawat B777 MH17 oleh Anwar Ibrahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Terima kasih kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian untuk membahas Usul Khas dari Perdana Menteri berkenaan tragedi nahas Pesawat MH17 yang dilaporkan ditembak dan terhempas di daerah Grobovo, Donetsk (Timur Ukraine), 50km dari sempadan Rusia pada hari Khamis, 17 Julai 2014. Sudah tentu saya akan mulakan dengan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas tragedi malang ini.

Saya juga ingin menzahirkan sokongan kami dari Pakatan Rakyat kepada segala usaha kerajaan dalam menangani tragedi ini dengan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Perbuatan jenayah ini bukan sahaja perlu dikutuk malah perlu dikecam kerana ianya melibatkan mereka yang tidak berdosa.

Kami di dalam Pakatan Rakyat amat komited kepada apa-apa ketetapan kerajaan untuk mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pelaku.

Saya menggesa siasatan yang telus dan terbuka dan tidak ada sekatan maklumat kepada awam demi mengelak sebarang spekulasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan Malaysia perlu memastikan bahawa tidak ada pihak dibenarkan menceroboh kawasan siasatan dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian kerana kawasan sekitar itu masih dilaporkan tidak selamat.

Saya juga memuji tindakan kerajaan dalam rundingannya dengan Ketua Republik Rakyat Donetsk, Alexander Borodai bagi mendapatkan kotak hitam yang menjadi perkara mustahak dalam penyiasatan nahas pesawat MH17 ini.

Perlu suatu tindakan undang-undang yang telus bagi memastikan keadilan diperolehi bagi setiap mangsa dan juga untuk memastikan agar tidak ada lagi nyawa yang terkorban di masa hadapan.

Ruang keadilan menerusi ICC (International Criminal Court) perlu di terokai sekiranya terbukti sesetengah individu yang didapati bersalah menembak jatuh MH17,manakala sekiranya terbukti sebuah negara yang bersalah, ICJ (International Criminal Court) perlu digunakan. Dalam kejadian pesawat awam ditembak oleh kuasa ketenteraan sesebuah negara, ICJ selalunya digunakan.

Pengurusan jenazah juga harus diperkemaskan supaya keluarga-keluarga mangsa nahas yang terlibat tenteram dan tenang. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, tambahan lagi di akhir Ramadhan saya pohon kepada keluarga-keluarga mangsa supaya sabar dan redha dengan ketentuan-Nya.

Ini merupakan satu keadaan yang suram dan pilu untuk semua rakyat Malaysia saya menggesa semua pihak untuk menahan diri daripada membuat kenyataan atau ucapan yang tidak sensitif kepada perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Perbuatan kejam rejim Zionis Israel di Gaza

Saya memuji tindakan Perdana Menteri kerana turut menyentuh tentang derita dan keperitan yang dilalui rakyat Gaza yang dibedil setiap hari oleh rejim Zionis Israel.

Sementara Amerika kuat membidas Rusia dalam tragedi MH17 ini, kita juga harus mempersoalkan pendirian mereka tentang kekejaman rejim Zionis di Gaza.

Apa yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel itu boleh disebut sebagai “state terrorism” yang jelas barbarik dan tidak berperikemanusiaan yang tanpa mempedulikan bulan suci umat Islam.

Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.