Categories
SELANGOR

Istana terima memo 12 NGO, ikrar taat Sultan, sokong MB

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 24 OGOS: 12 NGO seluruh Selangor menyerahkan memorandum menyatakan sokongan penuh pemerintahan dan keputusan DYMM Sultan Selangor dalam isu kedudukan Menteri Besar negeri terkaya itu.

Memorandum terbabit diserahkan oleh wakil NGO terlibat, Raja Kamaruddin Raja Ab Wahid atau lebih dikenali sebagai Raja Komando, Pengerusi Angkatan Rakyat Selangor (ARAS), Abdul Rahim Wahab dan Presiden Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB), Mazli Saring.

istana4Selain itu, NGO lain yang turut bersama kira-kira 150 orang yang berkumpul di hadapan Istana Alam Shah, Klang petang tadi, Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen, Gerakan Rakyat Arus Bawah Selangor (GRABS), Persatuan Anak Bugis Selangor, Persatuan Bekas Guru dan lain-lain.

Memorandum itu diterima kira-kira jam 3.45 petang tadi oleh Ketua Penyelia Istana, Abdul Kadir Safuan.

Jurucakap NGO terbabit, Raja Kamaruddin berkata, selain menyatakan keteguhan untuk terus berdiri di belakang Tuanku Sultan Selangor, mereka turut menyatakan sokongan agar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menerajui pentadbiran negeri sehingga tamat penggal ini.

“Orang dahulu dah kata, raja adil, raja di sembah; raja zalim raja di sanggah tetapi sekarang raja tak zalim, pemimpin pula yang zalim.

“Pemimpin adil kita sokong. Pemimpin tak adil dan zalim kita jatuhkan.

“Sampaikan Majlis Syura menyokong Tan Sri Khalid yang terdiri dari ulama, kalau itu pun mereka boleh golekkan, apa lagi kita nak cerita pasal bangsa Melayu dan agama,” kata Raja Kamaruddin kepada pemberita di sini.

Kata beliau, semua pihak perlu menerima apa sahaja keputusan dibuat Sultan Selangor.

“Kita rakyat Selangor dengan persatuan yang ada tetap berdiri di atas apa sahaja keputusan Tuanku kerana kuasa (melantik Menteri Besar) itu Tuanku punya,” kata beliau.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.