Categories
NASIONAL

Kejayaan luar biasa di Nanjing cermin kejayaan Olimpik 2016

NANJING, 29 OGOS: Kejayaan luar biasa kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua adalah cermin kejayaan yang bakal diraih atlet pada cabaran sebenar temasya Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016 dan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020.

Kontinjen negara YOG 2014 bukan hanya berjaya mengatasi pencapaian pada edisi pertama sebelum ini, iaitu dua pingat perak yang disumbangkan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng di Singapura, empat tahun lalu, tetapi turut membuktikan Malaysia setanding dengan kuasa sukan besar dunia.

najing1Empat pingat negara pada YOG 2014 disumbangkan pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei yang meraih pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa, selain penerjun negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu (pingat perak) dan 3m papan anjal individu wanita (pingat gangsa) serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, (pingat perak) acara recurve campuran antarabangsa.

Memetik laporan BERNAMA, kejayaan itu dianggap luar biasa apabila sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat sebelum 20 atlet remaja negara berlepas ke Nanjing.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, berharap pendedahan berguna itu akan dijadikan pendorong kepada atlet remaja negara untuk menyusun langkah bagi mengejar kejayaan pada masa hadapan tidak kira apa juga kejohanan.

“Mereka adalah pelapis yang akan menggantikan atlet elit pada masa hadapan dan kita di MSN berharap hasil daripada usaha itu dapat dicapai pada Olimpik Rio 2016 atau Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

2014YouthOlympicsZolkples berkata, beliau dapat melihat peluang cerah menanti atlet remaja negara jika mereka terus berusaha gigih dan mengekalkan persembahan secara konsisten berdasarkan pencapaian di YOG 2014.

“Kejayaan ini adalah hasil program empat tahun yang dianjurkan MSN bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai kemampuan dan berkebolehan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa sejajar dengan misi negara untuk meraih pingat emas pertama negara di peringkat Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan pencapaian keseluruhan atlet negara di YOG 2014, Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin, berkata semua atlet remaja berjaya memberi saingan hebat di Nanjing walaupun mereka terpaksa berdepan atlet handalan dunia dalam misi memburu pingat di Nanjing.

“Jika mereka diasuh dengan baik, negara pasti akan mendapat hasil dalam jangka masa empat atau lima tahun lagi dan saya jangka satu atau dua orang atlet YOG 2014 mungkin terpilih untuk menggalas cabaran negara di Olimpik Rio 2016,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.