Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Merdeka Presiden KEADILAN

Salam kemerdekaan, reformasi jiwa merdeka!

Reformasi Jiwa Merdeka

Assalamualaikum Warahmatullah

Salam Sejahtera dan Salam Kemerdekaan!

Kita menyambut tanggal 31 Ogos 2014 sebagai tanda penghargaan kita terhadap harga sebuah kemerdekaan dan kebebasan yang kita nikmati sejak tahun 1957. Iaitu 57 tahun yang lampau, pemimpin-pemimpin negara kita membawa tanah air yang tercinta ini, keluar dari belenggu penjajahan British.

KEADILAN sebagai sebuah parti yang berteraskan rakyat, mengajak seluruh rakyat Malaysia, supaya menghayati kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar, iaitu bukan setakat membebaskan diri dari perhambaan dari penjajahan. Bukan juga menyambutnya dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sahaja.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Kemerdekaan yang dicari sebenarnya adalah kebebasan hati dan jiwa, kebebasan diri dan anggota keluarga dari belenggu pemikiran yang rasis dan sempit, serta mempunyai kebebasan ekonomi.

Rakyat mesti dipupuk untuk melahirkan jiwa merdeka, dengan memerdekakan sepenuhnya jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman demi membina negara yang aman harmoni, hormat menghormati sesama rakyat dari kalangan pelbagai agama dan bangsa.

KEADILAN komited untuk membina sebuah negara yang mengajak memerdekakan rakyat dari tekanan kehidupan, dengan usaha untuk menyediakan prasarana ekonomi yang baik, agar sumber kekayaan negara dapat dikongsi bersama seluruh rakyat, terutama mereka yang memerlukan tanpa membataskan kedudukan bangsa dan agama.

KEADILAN mahu mengasaskan kemerdekaan berteraskan islah atau reform. Reform mestilah bermula daripada kepimpinan yang amanah, telus dan efektif serta memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat.

Tekad KEADILAN adalah untuk membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan dengan asas hak-hak rakyat bernegara yang dilindungi oleh Perlembagaan.

Dengan itu, kita dapat membina nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia. Kita mahukan sebuah negara yang merdeka dan bebas dari gejala rasuah, pembaziran dan kecuaian.

Kita berharap kita mampu membawa negara ke landasan yang betul, memelihara maruah negara, kedaulatan negara dengan ekonomi yang kukuh.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
31 Ogos 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.