Categories
SELANGOR

PKNS sasar bina 31,000 rumah mampu milik sehingga 2031

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkesempatan mengadakan Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran sempena sambutan Jubli Emasnya yang turut dihadiri rakyat Selangor di Masjid Negeri, semalam.

Penganjuran majlis yang bermula dua hari sehingga hari ini itu bertujuan berkongsi dan menzahirkan kesyukuran atas pencapaian, kestabilan serta pengukuhan organisasi berkenaan selama 50 tahun.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata PKNS sudah membina 11 bandar di Selangor seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Bangi, Ampang, Ulu Klang, Kelana Jaya, Bandar Sultan Suleiman, Kota Damansara, Kota Puteri, Antara Gapi, Bernam Jaya dan Taman Sains Selangor 2.

“Dalam tempoh 50 tahun ini, banyak pahit manis yang sudah PKNS lalui dan pengalaman itu menjadikan kami sebagai organisasi yang semakin kuat,” katanya.

rumah mampu milik sutera damansara 01Ishak berkata, usaha dan tanggungjawab PKNS untuk membina rumah yang mampu dimiliki dan selesa kepada rakyat tidak terhenti setakat itu sahaja.

“PKNS kini memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Projek rumah mampu milik ini bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh yang ditetapkan antara 2008 hingga 2031, PKNS mensasarkan pembinaan 31,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri Selangor.

“Rumah mampu milik yang kami jenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS ini adalah disubsidi melalui projek komersial atau rumah kos tinggi,” katanya.

pknsMajlis itu perasmian program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi PKNS yang turut dihadiri Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Pelbagai program menarik yang diisi pada majlis kesyukuran itu antaranya kuliah dhuha, forum perdana dan qiamullail yang dihadiri penceramah seperti Ustaz Haslin Bahrin, Ustaz Fauzi Mustafa, Ustaz Syed Norhisham dan Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Jubli Emas PKNS sepanjang Ogos ini, pelbagai program lain turut diadakan antaranya Konvensyen Tahunan Integriti 2014, Majlis Penanaman 1juta pokok di SSP2 dan Cabaran Boling Jubli Emas PKNS bersama media.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.