Categories
KENYATAAN MEDIA

Status semasa sumber air Selangor

Berdasarkan status semasa kapasiti empangan-empangan di Negeri Selangor sehingga 5 Ogos 2014 berbanding seminggu yang lepas (30 Julai 2014), penurunan kapasiti di antara 0.38% sehingga 2.91% dicatatkan seperti di dalam jadual.

 

BIL

EMPANGAN

30 JULAI 2014

5 OGOS 2014

% PENINGKATAN

% PENURUNAN

TAKUNGAN

TAKUNGAN

Mm3

%

Mm3

%

1

Batu

26.45

82.74

26.13

81.75

0.99

2

Klang Gates

17.70

69.87

17.70

69.87

3

Langat

21.42

62.83

21.29

62.45

0.38

4

Semenyih

46.20

78.21

44.48

75.30

2.91

5

Sg. Selangor

77.42

33.66

74.71

32.48

1.18

6

Sg. Tinggi

54.70

47.78

52.24

45.62

2.16

7

Tasik Subang

2.80

66.58

2.75

65.47

1.11

 

Buat masa ini, segala langkah mitigasi yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sedang dijalankan. Langkah berterusan ini adalah termasuk pengurangan kadar pelepasan air Empangan Sungai Selangor kepada 700 juta lliter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi kepada 500 JLH. Bekalan air mentah ke loji pembersihan air (LPA) dibantu dengan pengepaman air kolam alternatif ke dalam sungai dengan pengeluaran sebanyak 500 JLH. Jumlah pengeluaran tersebut akan ditingkatkan kepada 800 JLH dengan penambahan bilangan pam mulai 8 Ogos 2014.

Selain itu, operasi pembenihan awan juga dilakukan secara berterusan dengan kerjasama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), dan syarikat AF Jet Sdn. Bhd di seluruh kawasan tadahan di Negeri Selangor.

Hasil pensampelan kualiti air kolam alternatif yang dijalankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan dianalisa oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia (JKM) sehingga bulan Julai 2014 menunjukkan parameter logam berat berada di bawah paras yang dibenarkan dan mematuhi piawaian.

Segala keputusan analisa tersebut dimuatnaik berperingkat setelah diterima daripada pihak JKM dan boleh diakses melalui portal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Kuantiti air kolam alternatif yang dikenalpasti mampu membekalkan air mentah untuk tempoh lima (5) bulan sehingga bulan Oktober yang mana perubahan Monson Timur Laut akan berlaku dan membawa kadar hujan yang tinggi.

Langkah keselamatan operasi pengepaman air kolam alternatif telah ditingkatkan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang mengawal ketat operasi serta sentiasa bersiap siaga.

Bilik Gerakan Operasi Kolam yang diwujudkan di kawasan berdekatan juga telah beroperasi 24 jam untuk memastikan operasi pengepaman air kolam berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Segala langkah mitigasi ini yang diselaraskan oleh LUAS sedang dilaksanakan dengan komitmen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB), MET dan beberapa agensi lain untuk memastikan kemudahan dan keselesaan rakyat.

Justeru, Kerajaan Negeri berharap semua pihak dapat memberi kerjasama, tidak cuba untuk sabotaj, menganggu operasi dan usaha Kerajaan Negeri ini ataupun cuba menimbulkan keresahan di kalangan pengguna.

Y.B. TUAN DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI

Pengerusi,Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.