Categories
SELANGOR

Dua kenyataan media berlawanan, sidang media PKR Selangor kelam kabut

Oleh NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 6 OGOS: Sidang media Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini kecoh berikutan wujud kenyataan media berlawanan secara  terang-terangan.

Ia bertajuk ‘MPN Selangor cadang dua nama untuk selesai kemelut MB’ manakala satu lagi ‘Keadilan Selangor bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah’ yang didakwa diedar dua individu berpakaian berlogo PKR .

Ia mendorong beberapa wartawan meminta penjelasan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pimpinan yang menyertai sidang media itu.

Sebaliknya, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Yahya Sahri mendakwa wujud sabotaj pada sidang media berkenaan, malah menuding jari kepada wartawan.

“Anda yang terima, siapa yang edar? Mungkin juga wartawan edar sebab kita duduk depan, anda duduk belakang,” katanya selepas selesai sidang media itu.

Tuduhan itu menimbulkan perasaan kurang senang wartawan sebelum situasi kelam kabut itu ditenangkan Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan yang menarik semula tuduhan berkenaan.

“Kita hormati semua wartawan. Anda semua hanya menjalankan tugas dengan baik. Saya tak fikir wartawan, kita boleh semak semula dalam video nanti,” katanya.

– FZL –

Leave a Reply

Your email address will not be published.