Categories
SELANGOR

Anwar mahu yuran Unisel dikurangkan, syarat langsai dilonggarkan

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 SEPT: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Universiti Selangor (Unisel) mengenakan yuran yang tinggi dan syarat pembayaran yuran yang ketat sehingga membebankan pelajar miskin.

Beliau berkata yuran tinggi dan halangan kepada pelajar dari mengambil peperiksaan sehingga yuran dilangsaikan adalah antara kritikannya terhadap pentadbiran Menteri Besar lepas.

“Saya tidak boleh terima dengan pentadbiran lalu walaupun beliau (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sahabat baik saya dan keluarga saya,” katanya dalam ucapannya di syarahan ‘Memerangi Ekstrimisme’ di Unisel, di sini.

Anwar berkata tindakan Abdul Khalid itu tidak boleh diterima apatah lagi lebihan wang (rizab) yang banyak.

forumunisel1“Itu polisi Kerajaan Negeri, sedangkan kita mahu sekiranya pelajar tidak mempunyai wang itu tidak mengapa (dan boleh meneruskan pengajian).

“Tetapi beberapa pelajar tidak membayar yuran tidak dibenarkan mengambil peperiksaan. Peraturan ini pelajar kena terima disebabkan dasar (Kerajaan Negeri)” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu sudah ditekankan kepada Menteri Besar baharu, Mohammad Azmin Ali yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Unisel.

“Semalam, saya sudah berjumpa dengan Azmin, saya menekankan supaya pelajar yang disahkan miskin tidak boleh dilarang untuk menduduki peperiksaan.

Sebelum ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa Unisel menawarkan yuran yang paling murah di Malaysia.

Sebahagian daripada RM30 juta dana yang diperuntukkan untuk pendidikan di Selangor akan digunakan sepenuhnya bagi membantu siswa dari segi kewangan dan sebagainya.

Sebahagian dari jumlah itu juga akan dibahagikan kepada beberapa kaedah termasuk menyediakan tabung mahasiswa supaya bantuan terus boleh disalur kepada pelajar dalam bentuk kewangan.

Beliau menjelaskan demikian hasil daripada maklumat rasmi yang dihuraikan oleh Pejabat Menteri Besar.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.