Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tiada kenaikan yuran pengajian IPT – Noraini

NILAI, 30 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian dikenakan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain kerana kebanyakan pelajar kini tidak berada di kampus akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Dari awal kita telah maklumkan bahawa tiada kenaikan (yuran pengajian), dan bil berkaitan aktiviti lain memang kementerian sudah minta supaya tidak dicajkan walaupun universiti mempunyai autonomi mengenai yuran dan saya difahamkan ada universiti yang berikan diskaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Universiti Sains Islam Malaysia di ini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menyarankan KPT mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua IPT berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas perkara lain, Noraini berkata setakat ini kira-kira 30 peratus pensyarah universiti telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan sebahagiannya melibatkan tenaga pengajar fakulti perubatan dan pergigian.

“Keutamaan pelajar lain selepas ini tertumpu kepada mereka yang berada di kampus kerana tiada akses Internet untuk pengajian dalam talian serta pelajar tahun akhir,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MPP Unisel: Jangan yuran rendah tapi kemudahan ditarik

Oleh HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (Unisel) berharap kemudahan sedia ada di kampus tidak berkurangan apabila kadar yuran dikurangkan.

Bagaimanapun, Naib Yang Dipertuanya, Adeeb Farhan Ahmad Fadzillah menyambut baik saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai prihatin terhadap masalah mahasiwa universiti itu.

adib mpp unisel“Kita mengalu-alukan kenyataan itu. Yuran tinggi pastinya membebankan terutama bagi pelajar miskin dan kurang berkemampuan.

“Namun, kita berharap jika yuran direndahkan, ia bersesuaian dan tidak pula ada antara kemudahan dikurangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Adeeb Farhan berpendapat yuran di pusat pengajian tinggi itu antara terendah berbanding institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Beliau berkata, kadar yuran di Unisel yang tidak dianggap sebagai institusi pengajian awam (IPTA) masih rendah berbanding IPTS lain iaitu kira-kira dua kali ganda.

“MPP juga mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti mengenai kumpulan mahasiwa yang gagal membayar yuran pengajian. Setakat ini kira-kira 99 peratus kes selesai.

“Majoriti pelajar dapat menduduki peperiksaan mereka,” katanya.

qurratu aniniBendahari Agung MPP Unisel, Qurratu Aini Ali Muhamed pula, berkata isu itu seakan-akan tiada penghujungnya biarpun beberapa kali dibangkitkan.

“Cakap itu ini murah, sudah tentu semua pelajar suka. Tetapi kita bimbang bila ia murah, banyak kemudahan seperti perpustakaan ditarik balik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dihalang duduki peperiksaan akibat yuran, mahasiswa sahkan kenyataan Anwar

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM: Seorang mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) mengakui rakannya terpaksa menamatkan pengajian kerana gagal melangsaikan yuran hingga dihalang dari menduduki peperiksaan.

Mahasiswa Bio Medic Sains Kesihatan, Ahmad Muhaimin Junid pula berkata rakan baiknya terpaksa menamat pengajian di tengah jalan kerana gagal melangsaikan yuran untuk menduduki peperiksaan.

ahmad muhaimin“Tanpa yuran seseorang mahasiswa tidak dibenarkan menduduki peperiksaan. Tetapi, mungkin ada kaedah lain (timbang tara) dari Unisel untuk kes seumpama ini.

“Ada sebab mereka gagal langsai hutang dan rugi jika mahasiswa itu pintar tetapi tidak berkemampuan kerana keluarganya miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada tinjauan SelangorKini berkaitan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menurunkan yuran pengajian dan melonggar syarat langsai hutang.

Kenyataan itu dibuat selepas Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu menerima laporan kes mahasiswa dihalang dari menduduki peperiksaan berikutan gagal membayar yuran.

Anwar bagaimanapun tidak menyalahkan pentadbiran Unisel yang dianggapnya terpaksa berbuat demikian kerana terikat dengan dasar Kerajaan Negeri sebelum ini.

noor sahidahSelain itu, Mahasiswa Diploma Pengurusan Perniagaan (DBM), Noor Sahidah Mohd Saudi, berkata mereka sedia kala dihimpit masalah kewangan ekoran kehidupan di bandar raya sangat mencabar.

“Yuran pembelajaran mencecah RM2,400 untuk semesta ini. Itu belum pembelanjaan bulanan, sewa rumah, makan minum dan bahan pembelajaran setiap bulan hampir RM800,” katanya.

Keluhan pelajar semesta lima itu turut dikongsi Mohd Asyaf Mohd Faizal dari jurusan sama.

mohd asyraf“Cadangan penurunan itu ada asasnya. Saya sebagai mahasiswa sudah tentu menyokong kerana rata-rata kami bukan orang senang.

“Jika ia baik untuk kedua-dua pihak (Unisel dan mahasiswa), saya harap ia dilaksanakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Anwar mahu yuran Unisel dikurangkan, syarat langsai dilonggarkan

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 SEPT: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Universiti Selangor (Unisel) mengenakan yuran yang tinggi dan syarat pembayaran yuran yang ketat sehingga membebankan pelajar miskin.

Beliau berkata yuran tinggi dan halangan kepada pelajar dari mengambil peperiksaan sehingga yuran dilangsaikan adalah antara kritikannya terhadap pentadbiran Menteri Besar lepas.

“Saya tidak boleh terima dengan pentadbiran lalu walaupun beliau (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sahabat baik saya dan keluarga saya,” katanya dalam ucapannya di syarahan ‘Memerangi Ekstrimisme’ di Unisel, di sini.

Anwar berkata tindakan Abdul Khalid itu tidak boleh diterima apatah lagi lebihan wang (rizab) yang banyak.

forumunisel1“Itu polisi Kerajaan Negeri, sedangkan kita mahu sekiranya pelajar tidak mempunyai wang itu tidak mengapa (dan boleh meneruskan pengajian).

“Tetapi beberapa pelajar tidak membayar yuran tidak dibenarkan mengambil peperiksaan. Peraturan ini pelajar kena terima disebabkan dasar (Kerajaan Negeri)” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu sudah ditekankan kepada Menteri Besar baharu, Mohammad Azmin Ali yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Unisel.

“Semalam, saya sudah berjumpa dengan Azmin, saya menekankan supaya pelajar yang disahkan miskin tidak boleh dilarang untuk menduduki peperiksaan.

Sebelum ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa Unisel menawarkan yuran yang paling murah di Malaysia.

Sebahagian daripada RM30 juta dana yang diperuntukkan untuk pendidikan di Selangor akan digunakan sepenuhnya bagi membantu siswa dari segi kewangan dan sebagainya.

Sebahagian dari jumlah itu juga akan dibahagikan kepada beberapa kaedah termasuk menyediakan tabung mahasiswa supaya bantuan terus boleh disalur kepada pelajar dalam bentuk kewangan.

Beliau menjelaskan demikian hasil daripada maklumat rasmi yang dihuraikan oleh Pejabat Menteri Besar.

HM