Categories
SELANGOR

Asmawi : MPSJ terus maju menjelang 2030

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 30 SEPT: Bersesuaian dengan status lima bintang ketika ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diharap mampu mencatat dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan demi kesejahteraan bandar dan masyarakatnya.

Ini juga bertepatan dengan perancangan jangka panjang disasarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu ke arah MPSJ Green City 2030 yang akan menukar Subang Jaya menjadi bandar rendah karbon serta persekitaran hidup yang sihat.

Harapan itu dizahirkan Datuk Asmawi Kasbi pada hari terakhir perkhidmatan sebagai Yang Dipertua MPSJ hari ini. Beliau akan bersara wajib pada 19 Oktober depan.

Asmawi merakamkan penghargaan kepada semua pegawai, petugas, ahli majlis MPSJ dan penduduk Subang Jaya serta media yang memberikan kerjasama dalam segala urusan di sepanjang tempoh perkhidmatannya bermula 1 Jun 2011.

Mesyuarat MPSJ (11)“Saya mengucapkan terima kasih kepada warga kerja MPSJ dan semua pegawai semua ahlimajlis yang telah memberi kerjasama di sepanjang saya menjawat jawatan ini.

“Penghargaan juga kepada penduduk yang tinggal di Subang Jaya yang menyokong semua program dilaksanakan MPSJ sehingga mencapai taraf sebagai PBT pertama mencapai tarat lima bintang dalam rating sistem penilaian penarafan bintang dikeluarkan Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan MPSJ.

Asmawi berkata, ia adalah satu cabaran besar bagi MPSJ bagi merealisasikan hasrat menjadikan Subang Jaya sebagai bandar hijau menjelang 2030 iaitu kira-kira 15 tahun dari sekarang.

Bagaimanapun, katanya, adalah menjadi hasratnya untuk melihat sasaran itu dicapai dengan jayanya.

“Dengan jumlah kakitangan yang ada iaitu 1,600 orang, kita perlu memberi perkhidmatan kepada penduduk kira-kira 800,000 orang. Kita adalah salah satu daripada PBT yang terletak di dalam daerah Petaling yang didiami ramai orang berbanding Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Ini satu cabaran kepada MPSJ di mana kita perlu meningkatkan sistem penyampaian kita di mana walaupun kita mempunyai sumber yang terhad seperti dari segi pendapatan atau hasil cukai tetapi kita perlu memberi perkhidmatan yang baik dan efisyen kepada penduduk yang ramai,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.