Categories
SELANGOR

Azmin diyakini mampu teruskan kecemerlangan PR

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali diyakini mampu meneruskan kecemerlangan PR mentadbir negeri Selangor dan memastikan kebajikan rakyat diutamakan.

rodziahAdun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata Azmin mempunyai kemampuan untuk menterjemahkan dasar gagasan itu dalam dasar Kerajaan Negeri.

“Kita harapkan tanda aras yang telah diletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi ukuran dalam pembangunan dan perancangan Menteri Besar baru.

“Saya harapkan asasnya dapat diteruskan dan tiga polisi negeri iaitu kecekapan,akauntabiliti dan transparensi dapat diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Beliau menggantikan Abdul Khalid yang merupakan Menteri Besar Selangor sejak tahun 2008.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata pelantikan Azmin tidak signifikan bagi negeri terkaya di Malaysia, tetapi hanya ‘menumpang’ kejayaan yang telah dilakukan kerajaan BN selama 15 penggal.

Rodziah melahirkan rasa dukacita diatas sikap ungkit pemerintah lalu yang sekadar melakukan tanggungjawab yang dijangkakan daripada mana-mana pemerintah.

Tegasnya, pentadbiran PR di Selangor bersusah-payah membetulkan kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan pemerintah sebelum ini, dan menyelaraskan semula dasar Kerajaan Negeri menepati keperluan rakyat terbanyak.

“Kalau BN kata kita sambung kejayaan mereka, di mana kita sambung?

“Kita banyak buat pembaharuan, kalau kesinambungan kita tutup mata dan teruskan sahaja, maka saya sangkal kalau BN kata kita teruskan kerana banyak polisi BN yang kita mansuhkan dan buat polisi baru,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.