Categories
SELANGOR

Exco: MB baru teruskan legasi cemerlang, integriti & telus

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor, berjaya membawa perubahan besar di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dengan meninggalkan legasi besar yang membanggakan seluruh rakyat negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Abdul Khalid dikenalinya amat profesional tanpa mencampur adukkan soal politik kepartian ketika menjalankan amanah dipertanggungjawabkan kepadanya.

khalid3Katanya, dengan sikap ketelusan dan penuh kebertanggungjawaban Abdul Khalid merubah tanggapan umum dengan meletakkan asas kukuh dalam pentadbiran Kerajaan Negeri menerusi sumber hasil negeri yang kukuh dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Dalam mentadbir Kerajaan Negeri sungguhpun beliau seorang ahli politik tetapi beliau dapat memisahkan dari segi profesionalismnya selaku pentadbir.

“Saya melihat kepentingan rakyat sentiasa diletakkan di hadapan dalam apa jua keadaan dan hari ini kita telah melihat hasil daripada usaha beliau itu,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Perpisahan Bersama Menteri Besar di Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Dr Ahmad Hairi menjelaskan, dalam keadaan menghadapi tekanan dalam isu berkaitan politik dari parti sendiri Abdul Khalid tetap menjalankan tugas seperti biasa.

“Beliau cukup profesional. Dia tidak pernah membawa isu-isu parti di dalam tugas dan mesyuarat. Sama sekali tidak pernah.

“Saya kira cukup membanggakan ketika dalam keadaan beliau tertekan sehingga mesyuarat terakhir pada hari ini (22 September),” katanya yang dilantik sebagai Exco selepas Pilihanraya Umum ke 13 lalu.

Azmin mbBerhubung pelantikan Menteri Besar Baharu, Dr Ahmad Yunus berharap kesinambungan proses pentadbiran Kerajaan Negeri yang penuh integriti, ketelusan dan keterbukaan menerusi sistem reformasi yang telah berjaya dibentuk.

Beliau juga berharap semua pihak berlapang dada dan menerima keputusan dibuat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Menteri Besat yang baharu.

“Yang kita nak perjuangkan ini adalah kepentingan rakyat. Saya melihat setiap parti kena berlapang dada.

“Dalam kita menghadapi konflik pada hari ini yang mana Pakatan Rakyat (PR) satu ketika sudah diterima baik oleh rakyat. Bagi saya ia ditimbulkan sendiri oleh PR dan kita perlu bermuhasabah diri supaya yang terbaik dapat dilaksanakan selepas ini.

“Kita tidak mahu apabila sudah diperkenankan Tuanku Sultan bagi pelantikan Menteri Besar baharu tetapi konflik tidak selesai,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.