Categories
SELANGOR

Exco muda mahu olah program berciri mesra anak muda

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 SEPT: Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) muda dilantik menganggotai barisan Exco Selangor tekad membawa nafas baru yang lebih mesra anak muda ke dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor.

Exco Zaidy Abdul Talib berkata fokus akan diberikan untuk menambahbaik program sedia ada bagi merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan generasi muda.

“Di Selangor banyak calon anak muda dan dalam Exco juga nampaknya kepercayaan banyak diberikan kepada anak muda dan ini disebabkan Pakatan Rakyat (PR) melihat betapa pentingnya potensi anak muda diketengahkan dan menjadi barisan hadapan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Kepercayaan ini dilihat juga berdasarkan jumlah pengundi ramai di kalangan anak muda. Kepimpinan anak muda inilah mampu merasai denyut nadi anak muda dan selepas ini banyak program di Selangor ini dapat diolah supaya kita dapat mengambil kira dari sudut kehendak atau aspirasi anak muda.

“Program sedia ada memang dah cantik sebenarnya tetapi kita boleh tambah baik lagi, diolah semula bagi mendekatkan lagi dengan jiwa anak muda sebab hanya orang muda sahaja yang memahami anak muda,” kata Zaidy.

Exco Amiruddin Shari pula percaya golongan muda dalam barisan Exco yang baru mampu membawa idea lebih segar.

“”Kita harap kita akan dapat bawa idea dan kaedah baru dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan saya pasti kami mampu merapati anak muda kerana komunikasi yang kami gunakan seperti media sosial dan sebagainya sama dengan kaedah yang menjadi kegemaran anak muda lain.

“PR juga memberi contoh yang baik apabila kita dapat lebih 30 peratus barisan kepimpinan kita dibarisi oleh generasi muda. Ini adalah pengiktirafan kepada anak muda di Malaysia untuk dilaksanakan Kerajaan Negeri PR Selangor,” kata Amiruddin.

Jelas beliau pengalaman yang dimiliki ketika berkerja di bawah teraju Dr Ahmad Yunus Hairi adalah bekalan pengalaman yang terbaik dan berguna untuk beliau praktikkan dalam mengatur program Kerajaan Negeri Selagnor

Beliau juga menganggap Exco muda seperti Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ean Yong Hian Wa yang masing-masing memiliki latar belakang berlainan sebagai aset penting yang menambah kepelbagaian dalam pentadbiran baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.