Categories
NASIONAL

SPRM, Jabatan Hutan bentuk jawatankuasa banteras rasuah pembalakan

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah bersetuju secara dasar untuk menubuhkan jawatankuasa bersama memantapkan integriti dan menangani gejala rasuah berkaitan perhutanan dan pembalakan.

Timbalan Ketua Persuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata jawatankuasa itu merupakan platform terbaik menangani gejala rasuah dan mempertingkatkan integriti dalam perlaksanaan tugas di peringkat jabatan.

“Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mencetuskan idea ini. SPRM menyambut baik dan merasakan perlu sebuah jawatankuasa bersama kerana ia akan membawa peranan yang lebih efektif kedua-dua agensi ini,” kata beliau, dipetik dari laporan agensi berita Bernama.

SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan di ibu negara baru-baru ini bagi menggalakkan lagi kolaborasi untuk memantapkan tadbir urus dan sistem penyampaian di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Pada sesi pertemuan ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Profesor Dr. Abd Rahman Abd Rahim bersama Pengarah-pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Bahagian. Selain Mustafar, SPRM diwakili oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato’ Mohd Yusoff Akope.

“Kerjasama antara agensi adalah penting bagi memperkukuhkan integriti dan menangani isu rasuah, dan pada masa yang sama, membetulkan persepsi di kalangan orang ramai,” kata Dr Abd Rahman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.