Categories
SELANGOR

Golf Worldwide Holdings Selangor Masters 2014 tawar hadiah RM1.3 juta

Oleh HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 5 SEPT: Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters yang menawarkan hadiah RM1.3 juta bakal berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor pada 18 hingga 21 September ini.

Kejohanan anjuran Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan kerjasama Kerajaan Selangor dan Asian Tour itu tersenarai dalam Jelajah Asia dan menjadi tumpuan pemain profesional tempatan dan antarabangsa.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Ami Nardin Ishak berkata, kejohanan edisi ketujuh itu dijangka lebih meriah berikutan pertambahan tawaran hadiah berbanding RM1.2 juta tahun lalu.

Beliau berkata, Asian Tour dijangka menjemput ramai pemain ternama dari Asia dan Eropah seperti tahun lalu iaitu 144 pemain profesional.

“Ia turut disiar secara langsung menerusi saluran Golf Channel dan dipancar ke 160 negara di seluruh dunia mulai hari ketiga hingga keempat,” katanya kepada SelangorKini.

Kejohanan itu bermula seminggu lebih awal menerusi penganjuran Kejohanan ETIQA Selangor Junior Golf 2014 bagi menggilap pemain muda untuk memasuki golongan profesional.

Ami Nardin berkata, pelbagai hadiah lumayan termasuk ‘Hole In One’ yang menawarkan antaranya, kereta Citroen DF5, Lotus dan Toyota Camry.

Mengesahkan penyertaan penyandang juara, Pariya Junhavasdikul dari Thailand, beliau berkata, kejohanan itu bersempena sambutan Keputeraan DYMM Sultan Selangor dan Pelancongan Selangor.

“Usaha diambil adalah inisiatif terancang dan berterusan Kerajaan Negeri ke arah mempromosi pelancongan sukan di Selangor.

Ami Nardin berkata, kejohanan itu juga membantu menjana ekonomi melalui aktiviti pelancongan, selain memperkembang potensi pemain profesional.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.