Categories
SELANGOR

Istana: Amalan minta nama lebih satu sudah lama

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Istana Selangor menjelaskan amalan meminta lebih daripada satu nama calon menteri besar adalah satu amalan lazim sejak zaman pentadbiran BN lagi.

Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan sewaktu pentadbiran BN, beberapa nama calon dikemukakan oleh Perdana Menteri melalui Majlis Menghadap Sultan dan Sultan Selangor akan memilih calon yang difikirkan layak.

SultanKatanya, apabila PR menang pada 2008, Sultan menulis surat untuk ketua parti mencadangkan dua nama namun mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Oleh kerana beliau memenuhi kriteria dan menepati syarat menjadi Menteri Besar, Sultan Selangor bersetuju melantik Abdul Khalid.

“Pada 2013 pula, oleh kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ada menyatakan Abdul Khalid tidak semesti dilantik semula, maka istana meminta empat nama sebagai calon, namun ketua-ketua parti mengesyorkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Beliau kemudian diperkenan Sultan lantaran pernah memegang jawatan dan ada hubungan baik dengan istana dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Munir mengeluarkan kenyataan bagi menangkis dakwaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya amalan menghantar satu nama merupakan amalan biasa sejak kemerdekaan.

“Kenyataan Anwar ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

“Sekiranya Anwar tidak mempunyai fakta yang tepat, beliau dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sultan Selangor meminta setiap parti mengemukakan lebih dua nama calon Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid yang ditangguhkan peletakan jawatannya.

Namun hanya PAS yang akur menghantar tiga nama calon sementara PKR dan DAP hanya menghantar calon tunggal, Wan Azizah.

Tindakan itu disifatkan istana sebagai biadap dan derhaka. Kedua-dua parti bagaimanapun meminta ampun atas keterlanjuran mengguris istana.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.