Categories
BERITA UTAMA

Isu Penstrukturan Semula Air Diperjelas – Siri 3

 

Kelima, sekiranya Splash mengambil tindakan mahkamah menyaman Kerajaan Negeri dan mahkamah bersetuju dengan tuntutan Splash, Kerajaan Negeri boleh diarahkan membayar pampasan tambahan kepada Splash. Ini akan mengakibatkan kos pengambilalihan industri air yang lebih tinggi bagi Kerajaan Negeri.

Hakikatnya, Splash atau mana-mana syarikat konsesi boleh membawa ke peringkat timbangtara antarabangsa untuk menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai harga tawaran. Namun, adalah diyakini bahawa kos pengambilalihan keseluruhan tidak akan melebihi RM9.65 billion kerana kaedah penilaian berdasarkan pulangan ekuiti tahunan 12% adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa pada kadar 8% sahaja. Syarikat konsesi juga dijangka akan sangat keberatan membawa ke mahkamah atau timbangtara antarabangsa kerana semua terma dan syarat Perjanjian Konsesi akan didedahkan kepada umum.

airbaruKeenam, tarif air didakwa akan naik mendadak dalam tahun-tahun menghampiri pilihanraya umum keempat belas (PRU14) akibat MoU dan HoA.

Hakikatnya, di majlis menandatangani HoA pada 1 Ogos 2014, tarif air di Lembah Kelang diberi jaminan tidak akan dinaikkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun akan datang sekiranya industri air Selangor dapat distruktur semula dengan jayanya walaupun kita mesti menerima hakikat bahawa di suatu ketika pada masa hadapan, kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan tetapi pada kadar yang sangat munasabah, tidak membebankan dan dalam tempoh senggang yang panjang demi perkhidmatan air bertaraf antarabangsa tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.

Kejayaan menyusun semula industri perkhidmatan air dapat menyingkir ketidakcekapan operasi, teknikal dan kewangan dai bawah model konsesi seperti peluang membuat keuntungan melampau pada pelbagai peringkat, menurunkan kadar perkhidmatan pukal penukaran air (memproses air mentah kepada air terawat) atau Bulk Supply Rates (BSR) yang terlalu tinggi dengan pulangan setinggi 35% bagi sesetengah syarikat konsesi kepada paras munasabah 6-7% dan meningkatkan kualiti perkhidmatan air secara keseluruhan.

Para pengguna air di Selangor amat bernasib kerana tidak dibebankan oleh sebarang kenaikan tarif air sejak 2006 di mana tanpa penolakan oleh Kerajaan Negeri kenaikan tarif berjadual setiap 3 tahun bagi Syabas seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi bermula tahun 2009, tarif air pengguna sepatutnya sudah naik sebanyak 82% iaitu 37% pada 2009, 25% pada 2012 dan 20% pada 2015.

Selaras dengan semangat dan hasrat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006), penstrukturan semula industri air di Malaysia sepatutnya menyaksikan:

  • pemindahan semua aset berkaitan air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kerana PAAB akan “membiayai kos modal pembiayaan membina aset air yang baharu, membaikpulih dan menaiktaraf aset air sedia ada”
  • pajakan semula semua aset air kepada pengendali perkhidmatan air negeri (selalunya anak syarikat Kerajaan Negeri) dengan sewa pajakan akan ditentukan secara sepakat antara Kerajaan Negeri dan PAAB

Dengan kesepakatan bersama sebagai asas, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa menentukan kadar sewa pajakan yang perlu dibayar kepada PAAB sebagaimana yang kita saksikan di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka. Memandangkan pembangunan Langat 2 merupakan projek persekutuan, Kerajaan Negeri sudah tentu tidak akan dipertanggungjawabkan menanggung kos keseluruhan projek.

Pada hemat saya, terdapat dua “benteng” utama yang mampu melindungi hak dan kepentingan rakyat Selangor secara khususnya dan Lembah Kelang secara amnya terutama dalam aspek tarif air:

  • Meskipun kita tidak menolak kemungkinan kadar sewa pajakan PAAB akan dinaikkan pada masa hadapan, selagi mana kerajaan berpaksikan rakyat menguasai pentadbiran Selangor, tarif air tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana penetapan tarif air kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yakni selagi
  • Sebagai bakal pemegang saham dalam Water SPV, rakyat Selangor yang layak boleh menggunapakai hak bersuara mereka menghalang sebarang tindakan atau dasar yang dianggap merugikan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.