Categories
NASIONAL

Kerajaan patut ambil tindakan ‘Agen Hantu’ umrah jejas nama baik agen berdaftar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) Selangor membantah keputusan Kementerian Pelancongan berhubung ‘Pengendalian Pakej Umrah’ terbaru.

Pengerusi Matta Selangor, Datuk Helmi Daud berkata, keputusan itu tidak adil kepada agen-agen bertauliah yang mempunyai lesen ‘Outbound’.

haji-dan-umrahKatanya, walaupun agen tidak berurusan terus dengan Muhasasah di Arab Saudi, urusan tetap berjalan mengikut prosedur ditetapkan.

“Sepertimana kita sedia maklum, untuk mendapatkan perkhidmatan muhasasah secara langsung, agen perlu mempunyai BSP dengan bayaran deposit yang ditetapkan.

“Muhasasah juga meletakkan pra-syarat dengan jumlah visa tertentu serta terikat dengan perjanjian yang mana tidak dipersetujui kebanyakan agen kerana rumit dan kos tinggi.

“Sedangkan agen berdaftar mampu dapatkan visa melalui hubungan muhasasah di sana dengan kos lebih murah di samping tidak mengabaikan kepentingan dan kebajikan jemaah dibawa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dengan menetapkan harga terendah bagi sesuatu pakej umrah standard adalah RM4,900.

Usaha itu, kata Nazri adalah bagi menangani masalah penipuan pakej umrah yang sekian lama berleluasa, terbaru melibatkan penipuan pakej umrah membabitkan 121 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Madinah pada 1 Jun lepas.

Bagaimanapun, Helmi berkata sebenarnya masalah penipuan itu berlaku disebabkan kewujudan agen-agen hantu tidak berdaftar dan agen tidak mempunyai lesen ‘outbound’.

“Tindakan mereka inilah yang menjejaskan nama baik bagi agen-agen berdaftar di dalam industri pelancongan kita dan ini tidak adil kepada agen berdaftar lain.

“Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar,” tegasnya yang turut bekesempatan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Selangor semalam bagi membincangkan perkara berkenaan.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.