Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gantung sementara visa umrah: Puluhan ribu jemaah terjejas

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sekitar tengah hari tadi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata setakat ini, tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura, didapati disekat pendaftaran visa dalam talian.

Beliau berkata bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.

“Yang terjejas itu, kalau Mac sahaja dalam 15,000 hingga 20,000 jemaah. Pagi tadi visa boleh buat, cuma tengah hari sudah tidak boleh lagi. Kita semak dalam pukul 8 pagi, tiada masalah, tapi dalam tengah hari tadi sudah tidak boleh buat visa, sekarang ini online.

“Tapi saya dengar tiga negara sudah terkeluar iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya di sini hari ini.

Razali berkata kira-kira 3 petang tadi, beberapa penerbangan yang sepatutnya dinaiki oleh jemaah umrah dari Malaysia telah dibatalkan setelah menerima arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Agensi Berita Saudi melaporkan, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Luar negara itu mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan Covid-19.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.

“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan patut ambil tindakan ‘Agen Hantu’ umrah jejas nama baik agen berdaftar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) Selangor membantah keputusan Kementerian Pelancongan berhubung ‘Pengendalian Pakej Umrah’ terbaru.

Pengerusi Matta Selangor, Datuk Helmi Daud berkata, keputusan itu tidak adil kepada agen-agen bertauliah yang mempunyai lesen ‘Outbound’.

haji-dan-umrahKatanya, walaupun agen tidak berurusan terus dengan Muhasasah di Arab Saudi, urusan tetap berjalan mengikut prosedur ditetapkan.

“Sepertimana kita sedia maklum, untuk mendapatkan perkhidmatan muhasasah secara langsung, agen perlu mempunyai BSP dengan bayaran deposit yang ditetapkan.

“Muhasasah juga meletakkan pra-syarat dengan jumlah visa tertentu serta terikat dengan perjanjian yang mana tidak dipersetujui kebanyakan agen kerana rumit dan kos tinggi.

“Sedangkan agen berdaftar mampu dapatkan visa melalui hubungan muhasasah di sana dengan kos lebih murah di samping tidak mengabaikan kepentingan dan kebajikan jemaah dibawa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dengan menetapkan harga terendah bagi sesuatu pakej umrah standard adalah RM4,900.

Usaha itu, kata Nazri adalah bagi menangani masalah penipuan pakej umrah yang sekian lama berleluasa, terbaru melibatkan penipuan pakej umrah membabitkan 121 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Madinah pada 1 Jun lepas.

Bagaimanapun, Helmi berkata sebenarnya masalah penipuan itu berlaku disebabkan kewujudan agen-agen hantu tidak berdaftar dan agen tidak mempunyai lesen ‘outbound’.

“Tindakan mereka inilah yang menjejaskan nama baik bagi agen-agen berdaftar di dalam industri pelancongan kita dan ini tidak adil kepada agen berdaftar lain.

“Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar,” tegasnya yang turut bekesempatan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Selangor semalam bagi membincangkan perkara berkenaan.

EZY