Categories
NASIONAL

KM Pulau Pinang: KPN tak patut salah guna undang-undang elak kritikan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 SEPT: Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar patut tidak menyalahgunakan undang-undang jenayah dalam mempertahankan diri daripada kritikan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tindakan Khalid mempergunakan kedudukannya dalam pasukan Polis itu adalah tidak adil sama sekali.

Jambatan Pulau Pinang Lim Guan EngKatanya, Khalid sepatutnya mengambil saluran betul bagi menangkis dakwaan yang dikatakan fitnah terhadapnya.

“Khalid Abu Bakar perlu ketepikan sikap sombong dan sedar bahawa beliau tidak boleh dikritik, tetapi hanyalah seorang penjawat awam yang dibayar oleh rakyat untuk melaksanakan kewajipan berkanun bagi memerangi jenayah.

“Jika Khalid meletakkan usaha dalam membanteras jenayah dan penjenayah sebagaimana usaha mempertahankan dirinya dan terhadap mereka yang menyatakan pendapat mereka, maka Malaysia akan lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Khalid mengarahkan Polis mengambil tindakan lanjut terhadap dua pengguna laman sosial Twitter yang didakwa mengkritik dan menghinanya.

Kritikan kedua-dua pengguna itu diluahkan sebagai reaksi kepada penangkapan beramai-ramai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang pada 31 Ogos lepas.

Mengulas perkembangan lain, Guan Eng berkata Kerajaan Negeri kini menanti pengesahan berhubung dakwaan bahawa sebelas daripada 156 ahli unit Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan mempunyai rekod jenayah.

Guan Eng juga menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan melindungi anggota PPS yang melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar undang-undang melainkan akan tertakluk penuh kepada undang-undang.

“Jika tidak, adalah tidak adil kepada keseluruhan PPS yang terdiri daripada 9,000 orang dengan maklumat yang didakwa sebagai latar belakang beberapa ahli.

“Apakah perlu untuk 120,000 anggota polis juga didakwa hanya kerana tindakan beberapa anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan kejam menggunakan bahan letupan C4, menyebabkan kematian tahanan, jenayah kejam seperti rompakan atau menyalahgunakan kuasa mereka dengan terlibat dalam rasuah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.