Categories
NASIONAL

Lelaki ‘pupus’ di IPTA, Kerajaan perlu tambah universiti dan jurusan berasaskan kemahiran

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Pusat perlu menambah lebih banyak universiti awam bersifat teknikal dan berkemahiran tinggi yang bersesuaian kepada pelajar lelaki bagi memastikan imbangan pasaran pekerjaan adil di masa hadapan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata kedudukan hanya satu universiti awam menawarkan kursus kemahiran perlu diberikan perhatian serisu kerajaan bagi menampung guna tenaga sumber manusia dalam bidang pekerjaan.

universiti“Ini kerana kita khuatir sekiranya peluang yang adil tidak diberikan kepada pelajar lelaki berbanding perempuan kita risau nanti pelajar lelaki tidak mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan semasa,” katanya katanya kepada Selangor Kini.

Laporan media sebelum ini memaklumkan seramai 26,030 orang atau 69.5 peratus pelajar perempuan diterima masuk menyambung pelajaran di IPTA tahun ini berbanding pelajar lelaki seramai 11,437 orang atau 30.5 peratus.

Situasi ini menyaksikan nisbah pelajar lelaki dan perempuan di universiti adalah 30:70.

Berdasarkan statistik daripada 13 IPTA di Malaysia, hanya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan kemasukan pelajar lelaki yang tinggi berbanding universiti lain.

Amidi berkata antara punca kurangnya pelajar lelaki di universiti adalah faktor kematangan pemikiran dalam menentukan hala tuju perancangan masa berbanding pelajar perempuan.

Meskipun bukan sebahagian besar daripada pelajar lelaki berfikiran sedemikian namun kebanyakkan antara mereka cenderung memutuskan hala tuju menyambung pelajaran selepas melihat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas tahap umur 17 atau 18 tahun, pelajar lelaki biasanya lebih serius memikirkan hala tuju seterusnya.

“Saya tidak menyebut kesemuanya, tetapi sebahagian besar bahkan mungkin ada segelintir yang telah berjaya dipupuk lebih awal oleh ibu bapa atau individu tertentu dalam menentukan hala tuju lebih awal.

Katanya lagi, meskipun terdapat usaha dilakukan kolej komuniti menambah peluang pendidikan pelajar lelaki namun usaha berkenaan dilihat kurang menarik minat mereka.

“Biasanya pelajar lelaki lepas SPM baru dia fikirkan. Mungkin disebabkan pendedahan tidak begitu baik kepada pelajar terhadap kerjaya masa akan datang.

“Ini menyebabkan mereka tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan dalam hidup mereka dan apa yang seharusnya mereka capai,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.