Categories
NASIONAL

Lepas P.Waythamoorthy letak jawatan, apa hala tuju masyarakat India?

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa tidak serius menangani masalah sosio-ekonomi masyarakat India berikutan tiada sebarang ‘blue print’ konkrit membangunkan kaum itu sehingga hari ini, kata Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar.

Beliau berkata BN hanya menabur janji kosong sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu untuk meraih sokongan kaum India, namun dilupakan saat gagasan itu berjaya mengekalkan kemenangan mereka.

bn putrajayaKatanya bantuan diperuntukkan kepada kaum India disifatkan sedikit dan tidak mungkin dapat mengeluarkan daripada belenggu kemiskinan.

“Setiap pemimpin India daripada pelbagai parti komponen BN hanya memperdayakan masyarakat India untuk kepentingan politik masing-masing.

“Ada juga pemimpin utama seperti Datuk Seri G. Palanivel tidak berani menyuarakan aspirasi masyarakat India malah ramai menganggapnya sebagai seorang pemimpin takut bayang-bayangnya sendiri.

“Masyarakat India kehilangan pelbagai hak warganegara kerana pemimpin-pemimpinnya tidak berani menentang kerajaan yang diketuai Umno,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah.

Dalam pada itu, Sivakumar turut mempersoalkan kedudukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pernah disandang Pengerusi Hindraf, P.Waythamoorthy selepas PRU-13 yang lalu yang kini masih tiada pengganti.

Katanya perletakan jawatan itu memberi satu kerugian kepada masyarakat India dan beliau menggesa supaya pihak kerajaan memberi penerangan berhubung status portfolio P.Waythamoorthy dalam persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 7 Oktober depan.

“Saya minta Perdana Menteri menyatakan status jawatan Timbalan Menteri diberikan pemimpin Hindraf P. Waythamoorthy, siapakah dilantik kerajaan mengambil alih portfolio itu setelah beliau meletak jawatan.

“Adakah agenda sosio-ekonomi masyarakat India diteruskan Jabatan Perdana Menteri dan apakah fungsi serta nyatakan perkara dicapai dan dilaksanakan tempoh terdekat,” katanya lagi.

Februari lalu, P. Waythamoorthy melepaskan jawatan timbalan menteri ekoran kegagalan Putrajaya menunaikan janji kepada kaum India.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.