Categories
SELANGOR

MB: Tak galak swasta taja program Kerajaan Negeri demi integriti

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 17 SEPT: Kerajaan Negeri tidak menggalakkan penajaan swasta dalam program anjurannya mengelak simptom terhutang budi hingga menggugat ketelusan pentadbirannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebaliknya Kerajaan Negeri lebih selesa mendapatkan tajaan daripada kumpulan anak syarikat (GLC) atau pihak berkuasa tempatan.

golf2Katanya, pendekatan itu selaras dengan hasrat kebanyakan program yang dianjurkan, kebiasaannya bagi tujuan mempromosi dan bukan mencari keuntungan.

“Kita tidak galakkan pihak swasta kerana tidak mahu ada kaitan dalam isu pentadbiran yang kita laksanakan di negeri ini.

“Sebab itu, kita minta rakan-rakan untuk menampung, pada kali ini untuk sama-sama membiayai dan mempromosi sukan golf,” katanya dalam sidang media di Kelab Golf Seri Selangor di sini petang semalam.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Pro-Am Worldwide Holdings Selangor Masters 2014 dan Majlis Penerimaan Mock-Cheque daripada penaja-penaja.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pengerusi Worldwide Holdings, Datuk Noordin Sulaiman.

Antara yang memberi sumbangan tajaan ialah Worldwide Holdings dengan tajaan RM 1.5 juta, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan RM 500,000 Permodalan Negeri Selangor (PNSB) RM 200,000, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) masing-masing RM 50,000.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula masing-masing memberi tajaan RM 100,000.

Memasuki tahun kelapan penganjuran, kejohanan kali ini turut membariskan pemain-pemain golf bertaraf dunia termasuk David Lipsky, Pariya Junhasavasdikul, Aniraban Lahiri dan pemain handalan tempatan, Nicholas Fung, Danny Chia dan Airil Rizman.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.