Categories
SELANGOR

Peratusan exco wanita menurun ke 20% kejutan – Rodziah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Penyertaan wanita sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikurangkan daripada empat sehingga menjadi dua orang disifatkan sebagai satu ‘kejutan’ di bawah pentadbiran Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail, berkata peratusan Exco wanita yang menurun sehingga 20 peratus itu adalah di bawah indeks yang ditentukan Kerajaan Negeri sebelum ini.

rodziah“Sekarang saya boleh jawab tentang penyertaan wanita dalam EXCO setelah Menteri Besar umumkan.

“Dari 40 peratus ke 20 peratus? Hmm… satu kejutan. Bawah indeks yang ditentukan,” katanya melalui status di laman sosial Facebook dan Twitter.

Sebelum ini, selama dua penggal berturut-turut, Kerajaan Negeri menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus ahli Exco adalah dari kalangan wanita.

Bagaimanapun di bawah pentadbiran Azmin, jumlah Exco wanita dikurangkan kepada dua orang sahaja melalui pelantikan Dr Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong.

Barisan baru Exco kerajaan negeri Selangor yang diumumkan pagi ini menyaksikan PAS kehilangan satu jawatan exco.

Jumlah ahli exco PAS dikurangkan daripada empat sebelum ini kepada tiga orang.

Manakala jumlah Exco dari PKR bertambah daripada tiga kepada empat orang.

Tiga Adun yang digugurkan dari barisan Exco itu ialah Sallehen Mukhyi (PAS), Halimah Ali (PAS) dan Rodziah Ismail (PKR).

EZY

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.