Categories
NASIONAL

Perwakilan Perlis cadang tolak kerusi MB jika diberi kepada PAS

BATU PAHAT 19 SEPT: Perwakilan Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim menggesa muktamar kali ini membuat ketetapan supaya PAS menolak jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya ia diberikan kepada PAS.

Katanya, gesaan itu sebagai menunjukkan PAS sebuah parti yang berpegang pada janji dan mempunyai nilai integriti di mana sebelum ini parti telah memutuskan kerusi itu diberikan PKR.

“Atas nilai moral integriti, saya menggesa muktamar kali ini membuat ketetapan apabila berlaku jawatan itu diberikan kepada PAS, maka kita berpegang seperti yang diputuskan pada 17 Ogos lalu.

“Maka kita perlu menolak jawatan itu untuk membuktikan kita berpegang kepada nilai integriti,” katanya dipetik Malaysia Kini ketika membahaskan ucapan dasar presiden bertajuk “Terus beristiqamah”.

Pada perbahasannya, beliau menyentuh soal moral dan integriti yang diamalkan selama ini merupakan aset yang besar buat PAS.

Katanya, integriti dan moral yang tinggi turut membawa rasa hormat parti komponen dalam Pakatan Rakyat terhadap PAS.

“Kita dalam PAS mendapat sokongan dan penghormatan semua lapisan masyarakat sama ada di peringkat antarabangsa mahupun dalam Malaysia kerana mempunyai moral integriti yang tinggi.

“Moral dan integriti aset tinggi bagi PAS. Kita dihormati kerana berpegang kepada Islam, melambangkan kita berpegang kepada nilai integriti yang tinggi,” katanya.

Saksikan siaran langsung melalui TVSelangorku.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.