Categories
SELANGOR

Rakyat: rizab harus imbang belanja, cermat, dan tambah

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 30 SEPT : Rizab negeri yang mencecah RM3.3 bilion perlu dimanfaatnya sebaik mungkin demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Dalam masa yang sama, kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali perlu meningkatkan pelaburan bagi menjamin pertumbuhan rizab sebagai persediaan masa hadapan dan sebarang keperluan mendesak.

Perkara itu diperoleh dalam satu tinjauan yang dilakukan Selangor Kini ke atas masyarakat sekitar Bandaraya Shah Alam.

Eksekutif pemasaran, Shaizal Adzha Sauddin, 40 memuji kejayaan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat meningkat rizab negeri sejak mentadbir pada 2008.

Namun, beliau berpendirian angka itu belum cukup meletakkan Selangor dalam kedudukan selesa menghadapi kitaran ekonomi semasa yang tidak menentu.

Shaizal Adzha sauddin“Untuk individu, angka RM3.3 bilion memang besar. Tetapi untuk keperluan pentadbiran negeri dengan rakyatnya sebanyak 5.2 juta orang, saya kira rizab yang ada itu bukan suatu yang harus dibanggakan.

“Kerajaan Negeri perlu meneroka peluang pelaburan baru untuk tingkatkan rizab. Saya tidak kata perlu amal sikap kedekut, tetapi tingkat rizab dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi dan dalam masa yang sama belanjakan sedikit untuk keperluan mendesak,” jelasnya.

Pandangan yang sama turut dikongsi pekerja swasta, Zaimi Hazry, 39 dan berharap Kerajaan Negeri memantapkan lagi sektor pelancongan untuk meningkatkan rizab negeri di samping membuka peluang pendapatan untuk rakyat tempatan.

Zaimi Hazry“Sektor perindustrian, pelabuhan, hospitaliti dan pendidikan di Selangor antara terkedepan berbanding negeri lain, tetapi pelancongan agak suram. Sekiranya pelancongan diberi perhatian dan penambahbaikan, Selangor mempunyai pakej lengkap untuk menarik duit masuk.

“Jika rizab itu digunakan untuk pelancongan, bukan sahaja memberi pulangan pendapatan malah aspek kebersihan persekitaran, tandas awam, sistem pengangkutan dan pembangunan infra berkaitan dengannya juga akan ditingkatkan. Itulah manfaat yang rakyat akan terima,” jelasnya.

Sementara itu, juruteknik Hadi Hassan 27 menaruh harapan Kerajaan Negeri memanfaatkan rizab tunai tersebut membantu meringgankan beban rakyat ketika pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 nanti.

Hadi hassan“Pelaksanaan GST akan memberi kesan besar kepada rakyat. Terutamanya industri hartanah, sudah pasti ketika itu kenaikan harga rumah diluar kemampuan rakyat.

“Saya harap Kerajaan Negeri peka tentang perkara ini dan gunakan rizab negeri itu untuk bantu rakyat memiliki rumah,” katanya.

Bagi, pegawai tadbir, Mohd Nazir Abdul Latif, 50, Kerajaan Negeri sewajarnya membelanjakan sebahagian rizab itu untuk meningkatkan kualiti bekalan air bersih kepada pengguna seusai industri air kembali ke tangan Kerajaan Negeri.

Nazir Abd Latif“Selama ini bukak paip, air keruh dan berkarat. Pengguna perlu keluar modal sendiri beli penapis air dan juga yang membeli air terawat di mesin RO untuk keperluan harian.

“Jadi, ada keperluan untuk Kerajaan Negeri belanjakan rizab itu untuk pastikan rakyat menerima bekalan air bersih yang berkualiti kerana ia adalah keperluan asas yang tidak harus terlepas pandang oleh mana-mana kerajaan yang memerintah,” jelasnya.

Sebelum ini Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan, rizab negeri yang kini mencecah RM3.3 bilion adalah milik rakyat negeri itu dan seharusnya dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat.

Katanya, rizab negeri bukan kepunyaan mana-mana pemimpin dan bukan suatu angka yang perlu dibanggakan di atas kertas semata-mata.

“Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukan milik pemimpin.

“Cara saya guna dana itu bukan di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.